X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM cadang rakyat guna e-dagang dikenakan caj 20 sen

Zahidi Zainul Abidin
A
A

BACHOK - Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bercadang mengenakan fi atau bayaran perkhidmatan kepada rakyat yang menggunakan platform e-dagang sebanyak 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perkara itu sebagai langkah menambah dana khas bagi golongan B40 dan meningkatkan kewangan kerajaan termasuk untuk menampung kos pelaksanaan pembangunan teknologi komunikasi luar bandar.

“Hal ini dalam perancangan dan mesyuarat untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi memperoleh sumber-sumber lain yang tidak membebankan rakyat serta dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua.

“Sebab kita lihat banyak perbelanjaan dari segi perkhidmatan komunikasi yang perlu diberikan kepada rakyat selain daripada liputan rangkaian dan teknologi baharu, perisian keselamatan melindungi pengguna daripada scammer juga perlu belanja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Merdeka @ Komuniti Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan di Pengkalan Petah, Bachok di sini, hari ini.

Zahidi (tengah) menyempurnakan simbolik pelancaran Program Merdeka @ Komuniti Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan dengan memacakkan bendera Malaysia pada bot nelayan di Pengkalan Petah, Bachok hari ini.
Zahidi (tengah) menyempurnakan simbolik pelancaran Program Merdeka @ Komuniti Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan dengan memacakkan bendera Malaysia pada bot nelayan di Pengkalan Petah, Bachok hari ini.

Program kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan Bachok dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Zahidi berkata, pengguna platform e-dagang terdiri daripada syarikat-syarikat yang masih ramai tidak menjelaskan cukai dan bayaran pendaftaran aplikasi menyebabkan berlaku ketirisan.

“Fi 20 sen ini akan dikenakan kepada pembelian menerusi platform e-dagang antaranya Lazada dan Shopee. Sama seperti bayaran perkhidmatan, contohnya kalau pembelian RM10,000, pengguna perlu bayar RM1,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas perkhidmatan jalur lebar yang dilihat agak perlahan di Kelantan, Zahidi berkata, masalah sama turut berlaku di lokasi tertentu di bandar.

“Kerajaan dalam usaha menambah baik perkhidmatan dengan kerja-kerja membina 500 menara komunikasi di seluruh negara ketika ini,” katanya.

Sementara itu, pada program berkenaan 100 nelayan menerima Jalur Gemilang untuk dipasang di bot masing-masing bertujuan menyemarakkan kemeriahan terhadap sambutan kemerdekaan ke-63 pada tahun ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!