X

Kindly register in order to view this article
!

Tuduhan berniat jahat, DAP cuba raih politik murahan: Zahidi

Kenyataan Zahidi berhubung isu berkenaan menerusi laman Facebooknya hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemimpin DAP yang menuduh dua timbalan menteri melakukan buli siber terhadap Veveonah Mosibin adalah berniat jahat dan cuba mencari politik murahan, tegas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata, ia juga merupakan budaya politik yang jijik dan tidak waras DAP dengan mengambil kesempatan membakar emosi secara ‘mislead’ rakyat bagi meraih keuntungan politik.

"Berita bertajuk 'Hannah bidas timbalan menteri 'buli siber' Veveonah' adalah sangat tidak tepat dan berniat jahat untuk memanipulasi fakta dan kronologi isu kontroversi ini.

"Sikap Hannah menuding jari seolah-olah saya melakukan buli siber adalah sangat semberono dan cubaan mencari politik murahan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahidi, Abdul Rahim didakwa buli siber terhadap Veveonah

Tegasnya, DAP perlu berhenti menjadikan cara ini sebagai kelaziman budaya politik mereka.

"Tidak pernah dalam mana-mana keadaan saya menegakkan 'benang basah' atau cuba memberi gambaran negatif kepada Veveonah Mosibin seperti yang cuba digambarkan oleh Hannah.

"Semalam juga saya telah membuat sidang media bagi menerangkan kesalahan fakta tersebut kerana mendapat maklumat daripada Ahli Parlimen kawasan Veveonah," katanya.

Menurutnya, beliau sendiri berhasrat bertemu dengan pelajar terbabit susulan isu yang melanda mereka.

"Tidak pernah dalam mana-mana keadaan selepas kekhilafan di Dewan Negara yang menunjukkan saya menuding jari kepada Veveonah.

"Malahan dalam sidang media tersebut, saya menyatakan akan berjumpa Veveonah untuk mendengar sendiri pandangan beliau dan menyelesaikan kontroversi ini," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyelar tindakan Zahidi dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri terhadap pelajar dari Sabah, Veveonah Mosibin.

Beliau berkata, tindakan dua menteri berkenaan sebagai buli siber.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!