X

Kindly register in order to view this article
!

Menyamar kakitangan kesihatan, larikan buku saringan Covid-19

Rahmad pada sidang akhbar di Melaka hari ini menunjukkan salinan muka depan buku yang ditinggalkan di premis perniagaan oleh kumpulan terbabit.
A
A

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesan terdapat sekumpulan individu yang menyamar sebagai kakitangan jabatan itu dan melarikan buku saringan kesihatan Covid-19 di beberapa premis perniagaan di Bandaraya Melaka.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman berkata, kumpulan itu dipercayai memulakan aktiviti berkenaan di negeri ini sejak Jumaat lalu dengan menunjukkan kad kuasa palsu bagi memperdayakan pengusaha premis sebelum melarikan buku yang terdapat maklumat peribadi pelanggan.

Malah, katanya, kumpulan terbabit turut meninggalkan sebuah buku yang tertera lambang jata negara dan perkataan kementerian kesihatan, sedangkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan termasuk anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berbuat demikian.

"Tindakan mereka jelas satu kesalahan dan buku berkenaan terang-terangan adalah palsu dan bukannya dikeluarkan oleh kementerian itu berdasarkan perkataan Ahli Majlis Daerah dan Cov 19.

Salinan buku yang ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menyamar sebagai kakitangan jabatan kesihatan negeri.
Salinan buku yang ditinggalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menyamar sebagai kakitangan jabatan kesihatan negeri.

"Lagipun mana ada jawatan Ahli Majlis Daerah? Kalau ahli majlis PBT itu adalah. Kita bimbang jika penyamaran ini terus berlaku, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Apa yang lebih kita risau, sekiranya maklumat dan data peribadi pelanggan itu dimanipulasi seperti 'scammer' selain untuk kegiatan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr Ismail Ali dan Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat kepada Ketua Menteri Melaka, Yong Fun Juan.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, kerajaan negeri memandang serius kes penyamaran berkenaan dan akan membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru di sini.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan memberkas individu yang terlibat dengan kegiatan itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan perkara berkenaan masih dalam siasatan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!