X

Kindly register in order to view this article
!

Galak anak muda ceburi pertanian: Che Abdullah

Che Abdullah bersemangat melaungkan 'Merdeka' kepada murid Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru semasa berarak menaiki bot yang dihiasi Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 di Pulau Teluk Rejuna hari ini. - Foto Bernama
A
A

TUMPAT - Penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian amat digalakkan untuk memperkasa produktiviti industri makanan sekali gus dapat meningkatkan hasil pengeluaran makanan di negara ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan itu, negara ini memerlukan kredibiliti anak muda bagi memajukan industri berkenaan memandangkan sumber pengeluaran makanan dilihat semakin berkurangan namun permintaan terus meningkat.

"Dalam hal ini, kerajaan sentiasa berusaha pelbagai langkah dengan menggunakan teknologi dan melakukan kajian bukan sahaja di jabatan yang berkait pertanian tetapi pusat pengajian juga berusaha meningkatkan pengeluaran makanan berdasarkan sumber terhad termasuk daripada aspek benih, automasi dan sebagainya.

"Bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan ini lagi, kita perlu tenaga yang kuat, pemikiran baharu serta kebolehgunaan teknologi baharu, maka sudah tentu kita mahukan anak muda menceburi bidang pertanian dan menanam sumber kekayaan negara seperti kelapa, nanas, nangka, musang king, padi, jagung dan sebagainya," katanya kepada pemberita.

Sebahagian 150 peserta berarak megah dengan 26 buah bot nelayan dari Pantai Ndo ke Pulau Teluk Rejuna dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-63 pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian 150 peserta berarak megah dengan 26 buah bot nelayan dari Pantai Ndo ke Pulau Teluk Rejuna dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-63 pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 di Resort Dewan Sri Tanjung, Pulau Teluk Renjuna, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran Mohd Adanan Hassan.

Mengulas persiapan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam membantu golongan petani di Kelantan menghadapi musim banjir tahun ini, Che Abdullah berkata MAFI akan memastikan setiap petani yang terjejas menerima bantuan sewajarnya seperti sumbangan modal untuk menanam semula hasil tanaman mereka.

"Kita juga minta supaya semua petani terutama penanam padi mengikut jadual (menanam dan menuai padi) yang telah ditentukan kerana ia mengambil kira jangkaan bila berlakunya banjir dan sebagainya. Sekiranya petani lewat menanam padi maka mungkin tanaman dan hasilnya akan terjejas," katanya.

Terdahulu, Che Abdullah bersama kira-kira 150 peserta majlis itu melakukan perarakan Jalur Gemilang dengan 26 bot berkonvoi dari Pantai Kemahkotaan Tumpat (Pata Ndo) ke Teluk Renjuna.

Beliau berkata majlis berkenaan dianjurkan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda untuk memperingati jasa pahlawan negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!