Selangor perlu tubuh pasukan khas tangani pencemaran sungai

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa menubuhkan pasukan petugas untuk menangani isu pencemaran air di negeri ini, tegas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) itu turut meminta kerajaan negeri supaya lebih proaktif dengan memastikan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memainkan peranan lebih efektif dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang.

“Ya, air adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berada di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air. Tetapi Selangor seharusnya proaktif dengan memastikan LUAS mengambil peranan penguatkuasaan dan pemantauan yang berkesan kerana gangguan air sering terjadi.

“Menteri Besar, Amirudin Shari sepatutnya meminta lebih banyak perbelanjaan, petugas dan logistik untuk memastikan tugas seperti itu dapat dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Santiago berkata, pasukan petugas itu bertujuan untuk menghentikan pencemaran sungai dan sumber air yang memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada.

"Amirudin mesti menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak berkepentingan untuk mengenal pasti dan membuat pindaan undang-undang tertentu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam masa 30 hari ke depan dan mengemukakan isu peraturan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Pasukan itu juga harus mengenal pasti isu kelulusan, pelesenan dan pemantauan serta mengemukakan peraturan baharu dan memperkuat badan pengawasan,” katanya.

Charles berkata, rakyat sudah muak dengan janji yang dibuat kerajaan negeri untuk memulihkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga sudah tidak peduli mengenai janji untuk meminda undang-undang bagi memastikan tidak ada perusahaan atau kilang berani mencemarkan sumber air.

"Jika tidak kita akan terus menyalahkan satu sama lain sementara rakyat terus menghadapi gangguan bekalan air," katanya.