Nampak suspek lakukan 'sesuatu'

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dipercayai menjadi mangsa cabul rakan bapa saudaranya di sebuah rumah di Kampung Losong Megat Hussin, Jumaat lalu.

Kejadian hanya diketahui ibu saudara mangsa, 35, kira-kira jam 9 malam selepas mengambil kanak-kanak itu yang ditinggalkan sementara untuk dijaga oleh neneknya.

Menurut sumber, semasa tiba di rumah berkenaan, ibu saudara mangsa ada ternampak remaja lelaki (suspek) itu yang amat dikenali kerana berkawan baik dengan salah seorang adik lelakinya berada di dalam rumah.

"Curiga dengan kehadiran suspek yang berusia 19 tahun itu, wanita itu terus bertanyakan kepada anak-anak perempuannya yang kebetulan ada bersama di dalam rumah, adakah suspek melakukan 'sesuatu' kepada mereka.

"Pada mulanya anak-anaknya menafikan, sebelum mengaku ternampak suspek ada melakukan 'sesuatu' terhadap mangsa.

"Terkejut dengan situasi itu, wanita berkenaan terus bertanyakan kepada mangsa sebelum kanak-kanak itu mengadu suspek ada memasukkan tangan ke dalam seluar dan memegang kemaluannya," katanya.

Jelas sumber, tidak berpuas hati dengan tindakan suspek terhadap anak saudaranya, wanita tersebut terus membuat laporan polis.

Selain itu, wanita itu turut mendakwa suspek pernah melakukan perbuatan tidak senonoh kepada salah seorang anak perempuannya sebelum ini dan pernah beberapa kali memberi amaran akan melaporkan kepada polis sekiranya masih mengulanginya.

Artikel Berkaitan:

Susulan laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, suspek ditahan di rumahnya dan direman selama enam hari bermula semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistert Engku Nurul Ain Engku Muda untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017.