Peniaga bersedia sambut perantau

Iklan
Masjera menyediakan barangan secukupnya untuk bekalan kepulangan perantauan kali ini.

KOTA BHARU - Peniaga-peniaga pasar utama di negeri ini masing-masing sudah bersedia menyambut kepulangan anak Kelantan yang dibenarkan rentas negeri bermula semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bekalan sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) masih mencukupi dan peniaga sudah menyediakan keperluan secukupnya bagi menyambut kepulangan perantau.

Iklan
Iklan

Sabariah Harun, 60, memberitahu, beliau telah menyediakan halia, lengkuas, serai dan beberapa jenis sayur kampung yang lain secukupnya untuk bekalan jualan minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini.

"Insya-ALLAH bekalan cukup, harga pun saya tak naikkan pun. Kita jual untuk beribadah. Lagipun mereka (perantau) boleh balik pun cukup bersyukur," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan
Sabariah (kiri) sentiasa memastikan penjarakkan sosial dilakukan semasa berinteraksi dengan pengunjung.

Perkara sama juga diakui Masjera Mat Jusoh, 40, yang memberitahu bersedia lebih awal berikutan banyak stok habis sejak PKP dilaksanakan.

"Buat masa sekarang ini tiada kenaikan barangan lain cuma salad dan timun sajalah.

Iklan

"Harapnya tiada kenaikan berlakulah selepas ini. Kami pun risau juga, ini sumber pendapatan kami. Bila perantau balik, alhamdulillah, lebihlah sedikit rezeki kami," katanya.

Walaupun timun dan daun salad mencatatkan kenaikan harga, namun ia berlaku bukan disebabkan keputusan kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri sebaliknya kenaikan tersebut didapati berlaku sejak minggu pertama sambutan Aidilfitri.

Timun sebelum ini dijual dengan harga RM4 sekilogram namun sejak seminggu lalu, harganya naik RM1 menjadikannya RM5, manakala salad pula RM17 sekilogram berbanding sebelum ini RM15.

Aktiviti penjualan masih seperti biasa walaupun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.