Kelantan negeri pertama galak rakyat beli emas

Iklan
Kamarudin (tengah) semasa Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di Kota Bharu, pada Rabu.

KOTA BHARU – Kelantan menjadi negeri pertama melancarkan inisiatif khas bagi menggalakkan orang ramai membeli emas menerusi penganjuran Bulan Emas Kelantan 2026 bermula dari 1 hingga 31 Mac ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, program tersebut bertujuan mempopularkan emas Kelantan sebagai produk warisan negeri, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap logam bernilai itu sebagai sandaran ekonomi keluarga dan instrumen pelaburan jangka panjang yang lebih selamat.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri melihat emas sebagai aset fizikal yang stabil dan relevan dalam situasi ekonomi semasa yang tidak menentu.

"Hari ini kami meluncurkan program Bulan Emas dengan tujuan mempopularkan emas Kelantan serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan melihat emas sebagai sandaran ekonomi keluarga dan medium pelaburan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, walaupun orang boleh membeli saham, tetapi dari sudut keselamatan nilai, emas lebih terjamin.

Ujarnya, pergerakan harga emas kebelakangan ini menunjukkan trend naik turun yang tinggi, dan ia sebenarnya memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki emas sebagai simpanan jangka panjang.

Iklan

Kamarudin memberitahu, penganjuran sepanjang Mac bertepatan dengan Ramadan dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, iaitu tempoh di mana permintaan terhadap emas lazimnya meningkat dalam kalangan masyarakat.

"Promosi ini juga secara langsung membantu pengusaha kedai emas tempatan, khususnya di sekitar Kota Bharu, dengan menggalakkan mereka menawarkan diskaun dan promosi khas sepanjang Bulan Emas bagi menarik lebih ramai pembeli,” katanya.

Beliau menegaskan, penganjuran itu bukan hanya menyasarkan rakyat Kelantan, sebaliknya bertujuan menarik minat masyarakat seluruh negara untuk datang ke negeri ini.

Ujarnya, negeri ini mempunyai keunikan tersendiri apabila emas Kelantan memiliki identiti dan jenama sendiri.

"Hubungan orang Kelantan dengan emas sangat rapat, malah ia sudah menjadi tradisi turun-temurun, sejak lahir lagi.

"Namun program ini bukan sekadar untuk orang Kelantan, tetapi untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia tentang nilai emas sebagai simpanan dan pelaburan, di samping menarik pelancong membeli emas di Kelantan," katanya.