KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mengesahkan kes seorang wanita yang didakwa mempunyai dua suami sudah selesai apabila dia sebenarnya telah bercerai secara taklik dengan suami pertama.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, kekeliruan status itu timbul selepas wanita berkenaan gagal mendapatkan pengesahan rasmi mahkamah berhubung perceraian tersebut.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan wanita terbabit menjalani mufaraqah selepas didapati bernikah dengan lelaki warga Pakistan ketika status perceraian terdahulu tidak disahkan melalui dokumentasi.
“Apabila kita panggil dan teliti, sebenarnya tidak berlaku kahwin dua. Wanita itu sudah cerai taklik, tetapi tiada surat atau pengesahan dibuat.
“Apabila tiada dokumen, suami mungkin tidak tahu, keluarga tidak tahu. Di situlah timbul fitnah dan salah faham,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Ujarnya, kes tersebut menjadi pengajaran besar kepada umat Islam agar tidak memandang ringan proses pengesahan perceraian di mahkamah.
Kata beliau, perceraian mesti direkodkan dan disahkan oleh mahkamah serta dilengkapkan dengan segala dokumen.
“Apabila tiada dokumen, ia menimbulkan kekeliruan. Disebabkan itu dalam kes ini kita cermat dan teliti.
“Berdasarkan keterangan selepas memanggil wanita berkenaan, tidak berlaku perkahwinan dua suami, cuma berkait hal pengesahan sahaja. Dia dipanggil di bawah Seksyen 38 berkaitan akuan palsu dalam perkahwinan,” katanya.
Mohd Asri memberitahu, selepas semua urusan surat-menyurat diselesaikan, barulah wanita terbabit kembali semula kepada suaminya yang merupakan warga Pakistan.
Sinar Harian pada 16 Februari melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan seorang wanita yang bernikah dengan lelaki warga Pakistan ketika masih sah bergelar isteri menjalani mufaraqah bagi merungkai kekusutan status perkahwinannya.
Hakim Mohd Anwan Ab. Muttalib mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan yang difailkan oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Kota Bharu, Naim Md. Ghazali.
Sebelum itu, seorang lelaki membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok selepas mendakwa isterinya telah berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih sah sebagai suami isteri.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohd Ismail Jamaluddin ketika dihubungi.