Onde-onde, air balang antara makanan diambil sampel oleh JKNK

Iklan
Dr Mohd Azman (dua dari kiri) semasa merasmikan Program 'Walkabout' Peringkat Negeri Kelantan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Rabu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Menu berasaskan santan seperti onde-onde dan air balang antara makanan berisiko yang diambil sampel secara rawak oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bagi memastikan tahap keselamatan makanan yang dijual di bazar Ramadan terjamin.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, proses persampelan itu bermula minggu kedua Ramadan ini iaitu pada Khamis melibatkan pemeriksaan berkala di seluruh Kelantan serta analisis makmal terhadap makanan dan minuman yang dijual kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, fokus utama adalah makanan berasaskan santan dan kelapa yang mudah tercemar jika tidak dikendalikan dengan baik selain air minuman seperti air balang yang berisiko mengandungi kuman berbahaya walaupun kelihatan bersih dari luar.

"Kita akan ambil sampel makanan dan minuman secara rawak daripada penjual.

Iklan

"Sampel ini akan dianalisis di makmal bagi melihat sama ada terdapat pencemaran atau tidak.

"Jika didapati tercemar, tindakan tegas akan diambil termasuk penguatkuasaan undang-undang serta pengenaan kompaun terhadap pengendali makanan, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program 'Walkabout' Peringkat Negeri Kelantan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, keputusan analisis makmal biasanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu sebelum tindakan susulan dilakukan.

Dalam masa sama, ujarnya, orang ramai turut dinasihatkan agar lebih peka ketika membeli makanan dengan menggunakan deria asas seperti melihat, menghidu dan merasa bagi mengesan tanda-tanda awal kerosakan makanan.

"Kadang-kadang makanan nampak elok, tetapi sebenarnya mengandungi kuman.

"Jika ada perubahan struktur, warna atau bau yang pelik seperti tompok hijau, putih atau tanda-tanda telur lalat, itu petunjuk makanan sudah tercemar dan tidak selamat dimakan," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau memberitahu, sebanyak 87 pasukan pemantau terdiri daripada 274 orang pegawai bersiap sedia untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

"Pada tahun ini sebanyak 62 bazar Ramadan telah berdaftar di Kelantan melibatkan 4,157 petak perniagaan.

"Sehingga kini, sebanyak 386 gerai dan 625 orang pengendali makanan di bazar Ramadan seluruh negeri telah diperiksa. Didapati sebanyak 305 premis makanan pada tahap bersih dan seramai 620 pengendali makanan didapati telah mendapat suntikan anti tifoid dan 532 daripadanya telah menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM)," katanya.