Dewan sukan tertutup mula dibuka Isnin depan

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai,pusat snuker, dan pusat-pusat sukan yang lain bermula Isnin depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, operator kompleks/pusat sukan perlu mengisi borang notifikasi pembukaan terlebih dahulu melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi rujukan prosedur operasi standard (SOP) serta pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, borang notifikasi boleh diakses bermula hari ini dan kerajaan turut bersetuju untuk memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan (non-contact) sama ada di dalam atau luar dewan bermula 15 Jun 2020.

"Antara sukan yang dibenarkan termasuklah sukan individu seperti badminton, olahraga, angkat berat, sukan permotoran dua roda dan empat roda, sukan ekstrem payung terjun, papan luncur, para motor dan sukan rekreasi/riadah seperti senamrobik dan yoga.

Iklan

"Kebenaran ini perlu mematuhi penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 hingga 3 meter(untuk aktiviti statik seperti angkat berat, berlari atas treadmill) dan tiga hingga lima meter (untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak,hoki dan ragbi),” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki, ragbi, bola jaring dan dan sukan tempur/kombat seperti karate, taekwondo, silat dan sebagainya, keputusan mesyuarat masih kekal tidak boleh dimainkan secara permainan.

Iklan

Begitupun katanya, ia hanya dibenarkan untuk tujuan latihan sahaja tanpa ada sentuhan badan (non-contact) dengan penjarakan sosial tiga hingga lima meter antara seorang atlet dengan atlet yang lain semasa latihan.

"Adalah diingatkan bahawa penganjuran kejohanan, acara dan pertandingan sukan masih kekal tidak dibenarkan lagi untuk fasa ini bagi mengelakkan perhimpunan ramai (massgathering).

"Aktiviti sukan air di kolam renang juga masih tidak dibenarkan dan pihak KBS, MKN dan KKM akan berbincang dan menyelaraskan SOP lebih terperinci sebelum membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan secara asasnya, terdapat empat perkara dalam senarai larangan dalam sektor sukan dan rekreasi fasa dua ini iaitu tiada penganjuran sebarang kejohanan dan pertandingan; tiada aktiviti sukan dan rekreasi yang bersentuhan badan; tiada permainan atau perlawanan bagi sukan berpasukan dan sukan tempur/kombat (seperti bola sepak,hoki,taekwondo,silat dan sebagainya) dan tiada aktiviti dalam kolam renang.