Pan Borneo: 'Sarawak sudah selesai, Sabah masih tersangkut' -Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad melihat perkembangan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Pejabat Tapak Pan Borneo WP25 di Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, Kinabatangan.

KINABATANGAN - Tiada sebarang penamatan kontrak melibatkan syarikat yang terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah setakat ini, namun amaran telah diberikan kepada beberapa kontraktor bagi memastikan kelancaran projek tersebut.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui pihaknya memang tidak berpuas hati dengan kemajuan keseluruhan projek, khususnya melibatkan Pakej 1A yang menunjukkan kelewatan berbanding sasaran ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Tentu saya tidak puas hati dan kami di Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak puas hati. Pakej 1A yang sepatutnya 96.24 peratus tetapi sebenar hanya 86.53 peratus.

"Walaupun empat pakej daripada 15 sudah siap, baki 11 pakej lagi masih menjadi masalah dan perlu dipercepatkan," katanya selepas meninjau Projek LPB Sabah Fasa 1B di Pejabat Tapak Pan Borneo Work Package 25 (WP25), Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, antara pakej yang dikenal pasti perlu diberi perhatian segera ialah Pakej Kerja 1 hingga 4, 6 hingga 9 serta 13 hingga 15, dan semua kontraktor yang terlibat diminta melipatgandakan usaha penyegeraan projek.

"Pan Borneo Sarawak sudah 99.9 peratus siap, tetapi di Sabah kita masih tersangkut-sangkut.

Iklan

"Jadi saya menyeru semua kontraktor yang berkaitan, termasuk Superintendent Officer, JKR Sabah dan bahagian Pan Borneo agar mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan," katanya.

Mengulas isu pengambilan tanah dan struktur yang turut menjejaskan kemajuan projek, Ahmad berkata, proses pampasan sedang berjalan dan disasarkan dapat diselesaikan sepenuhnya sekitar Jun tahun ini.

“Pakej pampasan tanah dan struktur boleh diselesaikan pada bulan Jun tahun ini. Walaupun demikian, kerja-kerja pembinaan tetap berjalan, cuma rumah tidak boleh dirobohkan selagi pampasan belum diberikan.

"Sebab itu masih ada rumah di tengah-tengah laluan pembinaan, dan proses ini perlu diselesaikan mengikut kaedah serta peruntukan yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, tempoh pengambilan balik tanah berjaya dipendekkan hasil keputusan kerajaan melantik juru nilai dan juru ukur swasta bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja sedia ada di Sabah.

"Biasanya tempoh maksimum pengambilan tanah adalah dua tahun, tetapi bagi projek ini nampak gaya setahun sahaja, bermakna kita telah memendekkan tempoh sebanyak 50 peratus.

"Pelantikan juru nilai dan juru ukur swasta di setiap pakej adalah antara faktor utama proses ini dapat dipercepatkan kerana jumlah pegawai sedia ada tidak mencukupi," jelasnya.

tamat