SHAH ALAM - Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasi kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) menimbulkan kecurigaan dan persoalan.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan bersama meluahkan rasa kecewa dengan keputusan berkenaan.
"Perkara ini berlaku selepas keputusan untuk menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid pada 2023 melibatkan pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram yang menyebabkannya diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) walaupun ketika itu mahkamah telah memerintahkan beliau membela diri.
"Adalah penting untuk diperhatikan bahawa keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dibuat setelah kes prima facie terhadapnya terbukti iaitu pihak pendakwaan telah membuktikan setiap elemen pertuduhan yang boleh membawa kepada sabitan sekiranya tidak disangkal.
"Dengan kata lain, pada peringkat tersebut, pihak pendakwaan telah pun berjaya membuktikan kes mereka terhadap Ahmad Zahid," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pada ketika itu penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar (kini Peguam Negara) bahawa Ahmad Zahid telah membangkitkan perkara-perkara baharu dalam surat representasinya kepada AGC yang perlu disiasat.
Kini katanya, bukti-bukti yang telah dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan sendiri dinafikan dengan AGC mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan berkenaan.
"Bagaimana perkara ini boleh berlaku, sedangkan pihak pendakwaan telah pun membuktikan kes mereka terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah bagi 47 pertuduhan berkenaan? Pada ketika DNAA dimohon, giliran pihak pembelaanlah untuk menyangkal kes pendakwaan tersebut.
"Tiada sebarang perbincangan mengenai aspek ini dalam kenyataan AGC yang jelas menimbulkan persoalan terhadap ketulenan dan kebolehpercayaan apa yang dikatakan sebagai 'siasatan' tersebut.
"Sekali lagi, situasi ini menimbulkan keraguan awam terhadap integriti sistem keadilan jenayah Malaysia khususnya keupayaan pihak pendakwaan untuk melaksanakan mandat mereka secara berkesan," katanya.
Justeru katanya, mereka menggesa supaya AGC memberikan penjelasan khusus berhubung isu pembuktian kes prima facie sebelum ini dan bagaimana perkara tersebut selari dengan pendirian semasa bahawa bukti adalah tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.
Tambahnya, Kerajaan Madani juga digesa merangka dan menerbitkan garis panduan pendakwaan yang jelas dan adil bagi membimbing tatakelakuan serta proses membuat keputusan pendakwa raya secara saksama dan seragam, seiring dengan usaha memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.