PLUS perkenal projek rintis ANPR, pengguna bebas pilih lorong tol

Iklan
Kamera ANPR dipasang bagi mengesan nombor plat kenderaan dan memastikan pemanduan lebih lancar.

SHAH ALAM- Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan kini bebas memilih lorong tol selepas PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan projek rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) di jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua.

PLUS dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu menandakan satu pencapaian penting dan langkah awal pertama ke arah pelaksanaan sistem 'Multi Lane Free Flow' (MLFF) di lebuh raya Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengguna berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu, sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol.

"Sembilan plaza tol itu adalah Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

Iklan

"Ia meliputi jarak 87.7 kilometer (km) dan fasa pertama ini dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir.

"Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna," katanya pada Jumaat.

Iklan
Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan boleh menggunakan mana-mana lorong tol di jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua.

Tambah PLUS, sistem berkenaan disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan serta sudut pandangan yang berbeza.

Jelasnya, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit.

"Memandu seperti biasa tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta kos pendahuluan manakala kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat.

"Selain urusan pembayaran tol, aplikasi JustGO Malaysia turut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna.

"Bagaimanapun, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch 'n Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih boleh digunakan seperti biasa," ujarnya.

PLUS memberitahu, sejak September 2024, ujian sistem pembayaran ANPR telah dilakukan secara menyeluruh dan menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera lebih luas di plaza tol.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti," ulasnya.