Jual 1,000 kek durian D24 sebulan

Iklan
Kek durian D24 Nur Fazliah yang dihasilkan di rumahnya di Meru, Klang, Selangor.

KECINTAAN terhadap raja buah menyebabkan seorang usahawan wanita dari Klang, Selangor menghasilkan kek durian D24.

Nur Fazliah Mohammed Sahar berkata, dia menghasilkan kek berkenaan kerana mahu menikmati keenakan durian itu sepanjang masa tanpa perlu menunggu musimnya.

Iklan
Iklan

Sentuhan magis wanita berusia 32 tahun yang juga Pengarah Jualan Impiana Classic Enterprise itu akhirnya telah mencuri perhatian ramai, khususnya penggemar kek dan durian.

"Tidak sangka pula kek durian D24 ini mendapat sambutan yang menggalakkan sebaik sahaja dipasarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Nur Fazliah berkata, dia juga menghasilkan kek berkenaan kerana mahu mencari kelainan.

"Saya nak lari daripada kebiasaan sebab jarang kita dengar orang jual kek durian.

Iklan

"Kek ini adalah hasil sentuhan tangan saya sendiri agar mutu dan kualitinya memuaskan hati pelanggan,” katanya yang beroperasi dari rumah di Meru, Klang.

Katanya, dia memilih durian D24 kerana buah berkenaan boleh didapati sepanjang tahun selain mempunyai bekalan yang mencukupi.

Di samping itu, tambahnya, dia menggunakan buah berkenaan kerana mahu mempelbagaikan kegunaan durian, sekali gus memperkenalkan keenakan raja buah itu yang turut sinonim dengan tempoyak dan masak serawa.

Durian sebenar

Nur Fazliah berkata, dia memulakan perniagaan kek durian D24 itu pada Ogos 2019 susulan memiliki terlalu banyak stok durian.

Menurutnya, kek durian D24 yang dihasilkan itu bersaiz enam inci dan dijual pada harga RM35 sebiji. Jelasnya, tempahan boleh dibuat secara dalam talian melalui WhatsApp.

Katanya, ramai pelanggan berpuas hati dengan kek dihasilkan kerana mereka dapat menikmati rasa durian sebenar.

Justeru, jelasnya, syarikat menyasarkan untuk menjual 1,000 biji kek sebulan.

Selain kek durian D24, katanya, syarikatnya itu juga menjual pelbagai jenis kek, pasti, donat, biskut raya dan sebagainya.

Tambahnya, syarikat yang diusahakan sejak lima tahun itu telah menempa nama di sekitar Lembah Klang sebagai satu daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghasilkan kek, biskut dan pastri.