Saran kecualikan cukai import, SST hasil iklan

Iklan
Gambar dari kiri: Premesh Chandran, Mustapha Kamil

SHAH ALAM - Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) bakal mengemukakan dua permohonan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan bagi membantu industri media tempatan meneruskan perniagaan.

Pengerusi MNPA, Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, dua permohonan itu merupakan cadangan pengecualian cukai import terhadap akhbar dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap hasil pengiklanan dalam surat khabar.

Iklan
Iklan

"Kerajaan diharap mempertimbangkan pengecualian cukai import terhadap akhbar bagi membantu pemain media tempatan mengurangkan kos operasi sekali gus menawarkan harga lebih kompetitif kepada pembaca."Kerajaan juga diharapkan mengecualikan SST terhadap hasil pengiklanan dalam surat khabar.

"Inisiatif itu mampu menggalakkan syarikat pengiklanan memaparkan lebih banyak iklan dalam surat khabar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Menurut Mustapha Kamil, MNPA akan mengadakan satu pertemuan bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi persidangan video pada minggu hadapan.

Ahli-ahli MNPA terdiri daripada syarikat penerbitan akhbar terkemuka negara seperti New Straits Times, The Sun, The Edge, Berita Harian, Sinar Harian, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, See News, Makkal Osai dan sebagainya.

Iklan

Sementara itu, Jawatankuasa Pro-Tem Majlis Media Malaysia (MMC) menyokong penuh cadangan agar kerajaan menyalurkan bantuan bersesuaian kepada industri media tempatan ketika ini.

Pengerusinya, Premesh Chandran berkata, industri media tempatan sememangnya berdepan kesusahan dan pandemik koronavirus menambah impak penurunan perolehan hasil pengiklanan pada tahun ini.

"Jawatankuasa Pro-Tem MMC meminta untuk diadakan satu pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi membincangkan isu yang dihadapi industri media tempatan.

"Kita masih menunggu maklum balas beliau (Saifuddin) dan berharap semua media boleh berbincang bagi meneliti kaedah terbaik membolehkan kerajaan membantu industri itu,” katanya.