PPM gagalkan cubaan seludup rokok bernilai RM4.25 juta di Miri

Iklan
Shamsol Kassim (kiri) ketika mengadakan sidang akhbar mengenai rampasan rokok seludup di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 5 hari ini. - Foto: Bernama

KUCHING - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1.5 juta batang rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM4.25 juta di Miri, Sabtu lepas.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, kegiatan itu dikesan selepas pegawai dan anggota pasukan itu yang menjalankan Ops Taring Landai menahan sebuah lori di tepi Jalan Utama Miri Bypass, kira-kira 3.20 petang.

Iklan
Iklan

"Pemandu lori terbabit iaitu lelaki berusia lingkungan 50-an didapati gagal mengemukakan dokumen sah bagi muatan dibawanya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan membabitkan rokok dan kenderaan itu dianggar bernilai RM4.34 juta manakala kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Iklan

Mengenai modus operandi sindiket, Shamsol berkata, penyeludupan barangan tidak bercukai di negeri itu sering kali bermula di pelabuhan utama sebelum muatan dipindahkan menggunakan kapal feeder yang berlabuh di jeti persendirian di sepanjang sungai yang lebar serta boleh diakses bot besar.

Beliau berkata, sindiket turut didapati menggunakan khidmat lori sewa sebagai pengangkut yang bertukar-tukar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Iklan

"Kita (PPM) sedang melakukan pemantauan di bandar-bandar besar di Sarawak dan menyiasat siapa pengimport dalam kes sebegini. Hal ini melibatkan nilai cukai yang agak besar dan kerugian kepada kerajaan serta ketirisan ekonomi,” katanya.

Shamsol berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 22 November lepas, PPM Wilayah Lima Sarawak merekodkan 1,782 kes melibatkan 219 tangkapan dan 1,563 saman, dengan nilai rampasan RM107.4 juta dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan serta ketirisan ekonomi.

Di peringkat nasional pula, PPM seluruh negara mencatatkan 9,287 kes dengan nilai rampasan kira-kira RM606 juta serta menahan 2,972 individu bagi tempoh 1 Januari hingga 25 November lepas.

Beliau berkata keberkesanan operasi turut diperkukuh menerusi kerjasama antara agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, risikan pasukan serta Ibu Pejabat Polis Daerah. - Bernama