SEREMBAN – Warta Kerajaan Negeri Sembilan berhubung pemecatan Datuk Mubarak Thahak @ Dohak daripada jawatan Undang Luak Sungei Ujong masih boleh dicabar menerusi prosiding mahkamah.
Peguam Mubarak, Asmawi Ismail berkata, pewartaan bertarikh 26 Oktober lalu itu hanya bersifat pemberitahuan atau pengisytiharan dan tidak menjadikan kandungannya sebagai sesuatu yang muktamad serta mengikat dari sudut undang-undang.
Justeru, katanya, pihaknya masih mempunyai ruang untuk mengambil tindakan perundangan termasuk memfailkan semakan kehakiman.
"Warta itu hanyalah satu pengkhabaran, tetapi perkara yang dinyatakan di dalamnya masih boleh dicabar," katanya yang hadir bersama peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi, Dr Hanif Hassan, Deidra Nur Azmi, Nabila Nur Azmi, Fathin Syuhadah Mohamad Yasin dan Vel Manoharan.
Selain itu, Asmawi turut mempersoalkan tarikh kuat kuasa pemecatan anak guamnya yang dinyatakan pada 13 Mei 2025 dalam warta berkenaan.
Menurutnya, Mubarak masih menerima elaun serta menikmati keistimewaan sebagai Undang Luak selepas tarikh tersebut sehingga April lalu, manakala pembayaran berkenaan hanya dihentikan pada Jun.
Beliau mendakwa, keputusan menamatkan jawatan itu hanya dibuat menerusi mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai, namun tarikh kuat kuasanya ditetapkan lebih awal tanpa alasan munasabah.
Dalam hujahan sama, Asmawi membangkitkan isu notis berkaitan pertuduhan yang diserahkan kepada pihak pembelaan pada Khamis.
Katanya, alamat penerima pada surat berkenaan masih menggunakan gelaran anak guamnya sebagai Undang Luak Sungei Ujong, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status jawatan tersebut.
"Kedudukan Undang Luak perlu dilihat berdasarkan struktur pemerintahan Negeri Sembilan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang mengiktiraf peranan Undang Luak sebagai pembesar memerintah," katanya ketika hujahan bantahan awal pembacaan pertuduhan kes di hadapan Hakim, Tasnim Abu Bakar.
Menerusi permohonan itu, pembelaan memohon supaya prosiding pendakwaan digantung sementara menunggu penentuan, antaranya berhubung persoalan bidang kuasa Mahkamah Sesyen untuk mendengar pertuduhan terhadap seorang pemerintah negeri, di Mahkamah Tinggi.
Asmawi berhujah, kes berkenaan sepatutnya berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Tinggi Khas seperti diperuntukkan dalam Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, prinsip perundangan itu perlu dipertimbangkan bagi menentukan sama ada mahkamah biasa mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap individu yang tertakluk kepada perlindungan peruntukan berkenaan.
"Ini kerana, kedudukan anak guam sebagai salah seorang daripada Undang Yang Empat, iaitu empat Pembesar Pemerintah tertinggi Negeri Sembilan bersama Undang Luak Jelebu, Johol dan Rembau, perlu diberikan pertimbangan sewajarnya," katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu dengan alasan tiada keperluan untuk menangguhkan pertuduhan memandangkan Mubarak tidak lagi memegang jawatan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail berkata, tertuduh bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Luak Sungei Ujong.
"Warta berkenaan secara jelas menyatakan tertuduh diberhentikan daripada jawatan pada 13 Mei 2025, sedangkan kesalahan yang didakwa berlaku pada 19 April lalu, iaitu sebelum pertuduhan dibawa ke mahkamah hari ini.
"Pihak pendakwaan berpendapat tiada halangan dari segi bidang kuasa untuk Mahkamah Sesyen membicarakan kes ini kerana beliau bukanlah Yang di-Pertuan Besar," katanya yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Husni Fairos Ramly dan Anas Bashari.
Sementara itu, peguam, Hanif berhujah dengan mempersoalkan kesahan ahli mesyuarat DKU pada 31 Julai.
"Ia susulan perintah injunksi interim Mahkamah Tinggi Seremban yang menghalang enam daripada lapan ahlinya, termasuk anak guam, daripada menghadiri persidangan berkenaan," katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Tasnim membenarkan bantahan awal pembelaan dan menggantung prosiding pembacaan pertuduhan sehingga perkara berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Ia membabitkan persoalan undang-undang berkaitan kedudukan Mubarak, perlindungan perlembagaan serta isu forum dibawa untuk diputuskan terlebih dahulu oleh Mahkamah Tinggi, sebelum prosiding pertuduhan diteruskan di Mahkamah Sesyen.