BERA – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 32, Jalan Temerloh-Bahau di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.22 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Janudin, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa yang bekerja sebagai penyenggara am operasi kereta api itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bahau menghala ke Temerloh.
Menurutnya, MPV jenis Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 45 tahun dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, MPV berkenaan dipercayai membelok memasuki simpang di sebelah kiri secara tiba-tiba hingga berlaku pelanggaran.
"Mangsa yang parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Zulkiflee berkata, pemandu wanita dilaporkan cedera pada bahagian mata akibat terkena serpihan kaca.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bera untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di Klinik Kesihatan Triang.
"Kes masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beliau berkata, pemandu terbabit akan ditahan untuk membantu siasatan.