Mayat lelaki separuh tertanam di Nibong Tebal disahkan warga Myanmar

Iklan
Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan separuh tertanam di tebing terusan pengairan di Kampung Baru, Ladang Byram pada malam Isnin.

NIBONG TEBAL - Polis mengesahkan identiti lelaki yang ditemukan dalam keadaan separuh tertanam di tebing terusan pengairan di Kampung Baru, Jalan Byram di sini pada Isnin lepas adalah warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, identiti mangsa berusia pertengahan 20-an itu telah disahkan oleh adik lelakinya.

Iklan
Iklan

"Lelaki itu dipercayai bekerja di ibu negara dan mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja yang sah. Menurut adiknya, mangsa datang ke sini (Pulau Pinang) untuk berjumpa seseorang dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jay January berkata, usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Rizal Abd Rashid di talian 019-828 2212 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mayat lelaki yang mempunyai kesan kecederaan pada bahagian kepala itu dilaporkan ditemukan orang awam kira-kira 11 malam Isnin sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

Iklan

Pemeriksaan awal pasukan polis dan forensik turut menemukan tompokan darah berhampiran lokasi penemuan mayat itu dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala. - Bernama