Hukuman penjara 7 tahun lelaki samun peniaga makanan kekal

Iklan
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 7 tahun dan dua sebatan terhadap seorang pengajar sebuah universiti kerana menyamun peniaga makanan yang melakukan penghantaran ke rumah (COD), tahun lepas.. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang pengajar sebuah universiti kerana menyamun peniaga makanan yang melakukan penghantaran ke rumah (COD), tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan sebulat suara itu selepas menolak rayuan akhir Tuan Muhammad Shahrul Azlan Tuan Abdul Rahman, 33, selaku perayu untuk mengurangkan tempoh pemenjaraan tujuh tahun kepada empat tahun, manakala hukuman sebatan dikekalkan.

Iklan
Iklan

Hakim Azman dalam penghakiman ringkasnya berkata hukuman itu adalah wajar dan memadai, bukan sahaja untuk memberikan pengajaran kepada perayu, malah kepada masyarakat supaya tidak terbabit dalam jenayah seumpama itu.

Beliau berkata, mahkamah turut mengambil kira latar belakang perayu serta mangsa selain kejadian berkenaan disaksikan oleh seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Iklan

"Nasib baik hukuman yang dikenakan terhadap kamu (Tuan Muhammad Shahrul Azlan) adalah tujuh tahun. Pengalaman menjalani hukuman penjara akan memberikan kesedaran mengenai beratnya akibat perbuatan jenayah.

"Justeru, rayuan terhadap hukuman ditolak dan hukuman sedia ada memadai," kata Hakim Azman kepada Tuan Muhammad Shahrul Azlan yang kini sedang menjalani hukuman penjara itu.

Iklan

Pada 29 Julai 2025, Mahkamah Sesyen Besut menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan ke atas lelaki itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Tuan Muhammad Shahrul Azlan kemudian merayu untuk mengurangkan hukuman penjara di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, namun pada 22 Jan lepas rayuannya ditolak dan mahkamah mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun dan dalam cubaan melakukan perbuatan itu, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berkenaan.

Kejadian berlaku di Jalan Tembila Kampung Raja, di Jertih, pada 2.21 petang, 20 Julai 2025, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa pergi ke lokasi kejadian untuk menghantar kuih yang ditempah oleh perayu, dengan bayaran dipersetujui adalah secara COD.

Mangsa tiba di lokasi dengan menaiki sebuah kereta sebelum perayu menghampirinya dan memaklumkan bahawa pembayaran akan dibuat menerusi paparan transaksi kod respons pantas (QR).

Mangsa kemudian menurunkan tingkap kereta dan menyerahkan kuih berkenaan kepada perayu, namun situasi bertukar menjadi pergelutan apabila perayu bertindak mengacukan pisau dan cuba mencabut kunci kereta sehingga mangsa mengalami kecederaan jenis laceration (luka hirisan) pada kedua-dua pergelangan tangan.

Perayu melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kereta dan kejadian itu disaksikan oleh anak mangsa yang berusia enam tahun.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmood, manakala peguam Daniel Annamalai bertindak bagi pihak Tuan Muhammad Shahrul Azlan. - Bernama