IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM40 juta daripada penjimatan kementerian bagi melaksanakan kerja-kerja membaiki dan menurap jalan di kawasan perumahan di Perak.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, RM20 juta disalurkan khusus untuk kerja penurapan jalan di Parlimen Tambun dan kawasan Ipoh yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di negeri ini.
Menurutnya, peruntukan berkenaan akan disalurkan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan jalan dilaksanakan segera.
"Ini merupakan peruntukan besar yang akan digunakan bagi memperhebat prasarana awam di negeri ini.
"Semua projek yang dimasukkan dalam peruntukan RM40 juta ini dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, iaitu dalam tempoh empat hingga lima bulan lagi," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, langkah penjimatan dilakukan KPKT berjaya mengumpulkan RM67.4 juta, hasil pelbagai inisiatif mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan kementerian.
Katanya, menerusi pengurusan kewangan secara berhemah, kementerian mampu mengoptimumkan setiap sen dan memulangkan semula kepada rakyat.
"Ini jelas satu berita gembira supaya rakyat tahu, apabila kerajaan Persekutuan berganding bahu dengan kerajaan negeri, maka manfaat besar dirasai rakyat," katanya.