Bonus dua bulan gaji buat penjawat awam Perak - Saarani

Iklan
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar sebelum menyampaikan ucapan Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak boleh tersenyum lebar apabila mereka bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dua bulan gaji.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika mengumumkan Belanjawan Negeri Perak 2027 yang memaklumkan bayaran penuh dibuat pada 22 Disember ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka yang bekerja di belakang tabir pentadbiran negeri.

“Sebagai tanda penghargaan terhadap segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dia bulan gaji melibatkan semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri

Iklan

"Saya sedar setiap kejayaan kerajaan turut menuntut penat lelah yang jarang diselami, pengorbanan yang tidak selalu diketahui, dan kesetiaan kepada amanah yang wajar kita hargai,” katanya.

Saarani berkata, BKK dua bulan gaji itu turut melibatkan Ahli-ahli Ex Officio, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, guru lantikan Negeri melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak, Orang Besar Jajahan, pegawai lantikan Contract For Service serta kakitangan di bawah Kontrak MySTEP.

Iklan

Menurutnya, pemberian sebanyak RM600 turut diberikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.

Tidak dilupakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), guru KAFA, guru I’dadi dan Thanawi, Guru Tadika Islam, Guru Aiman serta Guru Agama Dakwah yang turut menerima BKK sebanyak RM400.

Sementara itu, semua Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk pembangkang serta Speaker Dewan Negeri turut menerima BKK pada kadar dua bulan elaun iaitu RM20,000 yang akan dibayar pada Januari 2027.

Dalam pada itu, Saarani mengumumkan kenaikan elaun bulanan Guru Tadika Islam sebanyak RM200 iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,400 sebulan manakala elaun Penyelia Tadika Islam turut dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,600 mulai tahun depan.

"Kenaikan itu memanfaatkan 168 guru dan 12 penyelia, dengan peruntukan keseluruhan elaun berjumlah RM3.05 juta.

“Mereka mendidik anak-anak mengenal huruf, mengenal Tuhan dan mengenal erti kehidupan. Biarpun dengan imbuhan yang serba sederhana. Sudah sewajarnya pengabdian mereka diberikan penghargaan yang lebih bermakna,” katanya.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM10.08 juta bagi elaun imam, bilal dan siak, selain memperkenalkan Anugerah Mengerjakan Haji bernilai RM474,600 kepada imam, bilal, siak serta Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang layak.

Saarani berkata, penghargaan itu sewajarnya diberikan atas komitmen dan amanah yang terus dipikul dalam menghadapi pelbagai cabaran.