RM260 juta untuk rakyat menerusi Sentuhan Perak Sejahtera

Iklan
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kiri) bergambar bersama Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Mohd Zaki Mahyudin (dua,kanan) sebelum menyampaikan ucapan Pembentangan Belanjawan Perak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. Turut sama Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kiri).

IPOH - Sebanyak 37 inisiatif dihimpunkan di bawah Sentuhan Perak Sejahtera bagi meringankan beban kehidupan dan memperluas peluang kepada rakyat Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan keseluruhan bernilai kira-kira RM260 juta untuk inisiatif itu disusun melalui lima Titik Sentuhan iaitu kos sara hidup, kebajikan keluarga, pendidikan, usahawan serta penghargaan.

Iklan
Iklan

“Sentuhan Perak Sejahtera lahir daripada keprihatinan yang dikongsi bersama. Kerajaan Negeri menggerakkan ikhtiar, syarikat GLC dan sektor swasta menghulurkan dukungan manakala jabatan serta agensi menyatukan tenaga demi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat

"Bermula Januari 2027, kesemua inisiatif ini akan dipaparkan menerusi portal www.peraksejahtera.com bagi memudahkan rakyat mengenal pasti bantuan dan manfaat yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Dewan Negeri Perak pada Selasa.

Iklan

Saarani berkata, sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat sejumlah RM26 juta diperuntukkan bagi Program Kad Perak Sejahtera untuk membantu kira-kira 21,000 penerima manakala RM6.2 juta disediakan bagi Program Bantuan Kotak Makanan serta RM4 juta bagi Pasar Sejahtera Rakyat.

Iklan

Jelasnya, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera akan diperluas ke Hulu Perak dengan tiga laluan baharu dengan peruntukan berjumlah RM4.4 juta menjadikan keseluruhannya 16 laluan.

Menurutnya, bagi aspek kebajikan sejumlah RM47.7 juta disediakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk RM37 juta bagi Bantuan Am Negeri.

Beliau berkata, bagi meringankan beban bil utiliti rakyat, Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan RM41.13 juta untuk rebat dan subsidi air termasuk rebat RM4 sebulan kepada semua pengguna akaun domestik.

Bagi pendidikan, tiga inisiatif bantuan makanan bernilai RM7.21 juta diteruskan, termasuk bantuan makanan RM200 sebulan kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah di lima kampus universiti di Perak.

“Saya percaya, anak-anak kita harus diberikan peluang untuk menuntut ilmu dan mengejar cita-cita, tanpa perlu menahan lapar atau dibelenggu resah untuk mengisi perut setiap hari,” katanya.

Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Farm Fresh Berhad melaksanakan program Perak Fresh, iaitu pemberian susu percuma di 177 prasekolah terpilih, terutamanya di kawasan luar bandar.

Untuk usahawan pula, sejumlah RM4.29 juta disediakan kepada Sekretariat Usahawan Perak (STeP) termasuk bagi Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK dan GeRAK+), selain RM2 juta bagi Tabung Usahawan di bawah Yayasan Perak.

Saarani berkata, bagi membantu pasangan muda membuat persediaan membina rumah tangga, kerajaan negeri julung kali memperkenalkan Kursus Pra Perkahwinan Islam Percuma – Menuju Cinta Sakinah, dengan peruntukan sebanyak RM300,000 melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada 3,000 bakal pengantin rakyat Perak yang memenuhi syarat sebagai bekalan ilmu dan persediaan melangkah ke alam perkahwinan.