Perak bentang belanjawan RM1.69 bilion, terbesar dalam sejarah

Iklan
Saarani menunjukkan Buku Belanjawan Negeri Perak 2027.

IPOH - Belanjawan Negeri Perak 2027 mencipta sejarah apabila jumlah RM1.69 bilion yang dibentangkan merupakan yang terbesar pernah diumumkan sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion diperuntukkan bagi Belanja Mengurus, manakala RM593 juta bagi Belanja Pembangunan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan pembangunan yang diumumkan itu juga paling tinggi pernah disediakan dengan peningkatan RM25 juta atau 4.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini membawa makna yang besar. Ia menyediakan ruang yang lebih luas untuk meneruskan projek infrastruktur, memperkukuh kemudahan awam, merancakkan kegiatan ekonomi serta menyempurnakan pelbagai ikhtiar pembangunan yang menjadi keutamaan rakyat.

Iklan

Saarani membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Dewan Negeri Perak pada Selasa.

"Berpaksikan iltizam untuk memperkukuh kemakmuran negeri dan memperluas kesejahteraan rakyat, Belanjawan Negeri Perak 2027 dirangka sebagai kesinambungan kepada agenda pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Dewan Negeri Perak pada Selasa.

Iklan

Belanjawan yang bertemakan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera: Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina digerakkan melalui lima fokus utama, iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar serta Keterjaminan Bekalan Makanan.

Saarani berkata, kerajaan negeri mengunjurkan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.56 bilion iaitu meningkat sebanyak RM47 juta berbanding tahun 2026.

Katanya, jumlah itu merangkumi Hasil Cukai RM719 juta, Hasil Bukan Cukai RM554 juta, Terimaan Bukan Hasil (RM250 juta) dan Terimaan Pembangunan (RM42 juta).

Menurutnya, berdasarkan unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut Belanjawan Negeri 2027 dirangka dengan unjuran defisit sebanyak RM128 juta mengambil kira keperluan membiayai agenda pembangunan serta meneruskan pelbagai program yang dirancang demi kesejahteraan rakyat.

Saarani berkata, pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan unjuran defisit tidak semestinya mencerminkan kedudukan kewangan sebenar pada penghujung tahun.

Beliau berkata, Belanjawan 2026 turut dirangka dengan unjuran defisit RM95.5 juta namun kutipan hasil negeri telah meningkat kepada RM1.244 bilion sehingga 23 November 2026.

“Insya-ALLAH dengan momentum kutipan hasil yang terus diperkukuh dan perbelanjaan yang dikawal secara berhemat, kerajaan negeri menjangkakan Perak sekali lagi mencatatkan lebihan kewangan pada penghujung tahun 2026.

"Ini sekali gus melengkapkan pencapaian surplus lima tahun berturut-turut,” katanya.

Perak sebelum ini mencatatkan defisit RM78 juta pada 2020 dan RM6.59 juta pada 2021, sebelum mencatat kepada lebihan RM29.6 juta pada 2022, RM62.4 juta (2023), RM45.6 juta (2024) dan RM87.92 juta (2025).