IPOH - Sebanyak 336 unit kediaman bertingkat dan 26 rumah kedai dicadang dibangunkan bagi menggantikan kawasan perumahan lama, Flat Sungai Pari di Buntong yang terbiar lebih 10 tahun lalu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Sandrea Ng berkata, pembangunan di atas tanah seluas kira-kira 4 hektar itu turut merangkumi kemudahan serta infrastruktur sokongan bersesuaian bagi memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, cadangan pembangunan itu bukan sahaja bertujuan memanfaatkan semula tanah bandar yang terletak di lokasi strategik, malah menyediakan pilihan kediaman dan ruang komersial bagi menyokong aktiviti ekonomi serta keperluan harian masyarakat setempat.
"Proses penukaran zon tanah telah selesai dan pihak pemaju juga sudah mengemukakan permohonan kebenaran merancang (KM) kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 11 November lalu.
"Permohonan itu kini dalam proses untuk dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) bagi pertimbangan pihak berkuasa dan agensi teknikal berkaitan.
"Pelaksanaan kerja-kerja meroboh dan pembangunan semula seterusnya adalah tertakhluk kepada kelulusan yang diperlukan," katanya ketika menjawab soalan M Thulsi Thivani (PH-Buntong) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Sandrea berkata, perancangan pembangunan semula kawasan berkenaan turut mengambil kira nilai sejarah Sungai Pari Tower yang merupakan antara bangunan tinggi terawal di bandar raya Ipoh.
Katanya, pemaju mencadangkan pengekalan dua bangunan sedia ada yang mempunyai elemen warisan dan nilai sejarah menerusi pendekatan guna semula adaptif (adaptive reuse) bagi mengekalkan sebahagian identiti asal kawasan berkenaan.
"Konsep serta komponen pembangunan yang dicadangkan ini masih tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa serta agensi teknikal berkaitan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, bagi memastikan keselamatan kawasan sementara menunggu pelaksanaan projek, pemaju menempatkan tiga pengawal keselamatan yang bertugas selama 24 jam secara dua syif.
Selain itu katanya, pemasangan notis larangan dan papan adang turut dilakukan di sepanjang perimeter tapak bagi mengawal akses keluar masuk serta mengelak pencerobohan pihak tidak berkaitan.
Sebelum ini, Pertubuhan Peniaga-Peniaga India Negeri Perak menawarkan untuk melaksanakan kerja merobohkan bangunan tersebut secara percuma sebagai langkah segera mengatasi risiko keselamatan.
Tawaran itu susulan tragedi kematian dua pelajar perempuan yang ditemui meninggal dunia di bangunan berkenaan, Julai lalu.
Flat Sungai Pari yang dikenali dengan panggilan 'Sungai Pari Tower' atau 'Tingkat 15' itu pernah menjadi bangunan tertinggi dan simbol ikonik bandar Ipoh kerana mempunyai reka bentuk bumbung berbentuk mangkuk.
Projek perumahan awam yang dibina pada 1963 itu bagaimanapun telah dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 berikutan kebimbangan terhadap struktur bangunan.