Kajian tingkat kapasiti takungan Empangan Bukit Merah

Iklan
Mohd Zolkafly menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.

IPOH - Kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melantik perunding bagi menjalankan kajian peningkatan kapasiti takungan Empangan Bukit Merah sebagai langkah jangka panjang menangani isu kekurangan bekalan air untuk pengairan sawah di Kerian.

Exco Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kajian yang dijangka siap pada 2026 itu bertujuan mengemukakan cadangan meningkatkan kapasiti takungan empangan bagi memenuhi keperluan bekalan air kawasan penanaman padi.

Iklan
Iklan

"Antara perkara yang diteliti dari sudut teknikal termasuk pengeluaran enapan dan peluasan kawasan takungan dengan mengambil kira keselamatan serta integriti struktur empangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri menerusi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah strategik dalam menangani kekurangan bekalan air di kawasan yang terkesan akibat fenomena El Nino ketika musim penanaman Luar Musim 2026.

Katanya, langkah itu termasuk penyelarasan jadual bekalan air dan aktiviti penanaman padi, penyediaan pam bergerak di lokasi strategik serta penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran berdasarkan keperluan di lapangan.

Iklan

Jelas beliau, Kerjasama IADA, JPS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dipertingkatkan menerusi bantuan pelepasan bekalan air tambahan daripada empangan apabila paras air sungai di sumber bekalan skim pengairan berkurangan, tertakluk kepada kapasiti yang dibenarkan.

"Kerajaan negeri tidak memandang ringan perkara ini.

"Langkah segera akan terus dipertingkat bagi menangani gangguan bekalan air di kawasan terjejas, manakala perancangan jangka panjang ditumpukan kepada pengukuhan infrastruktur pengairan, peningkatan kapasiti sumber dan takungan air serta keupayaan sistem pengagihan air yang lebih cekap dan berkesan," katanya.