Kakitangan MCMC perkasa kerjaya menerusi pensijilan UniMAP

Iklan
Graduan program Pensijilan Profesional daripada MCMC bergambar kenangan bersama Pro Canselor UniMAP, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Sidang Tujuh Istiadat Konvokesyen 21 UniMAP baru-baru ini.

ARAU - Tempoh perkhidmatan melebihi 15 tahun bukan penghalang buat 27 kakitangan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kembali menimba ilmu bagi meningkatkan kelayakan profesional masing-masing.

Kesemua mereka berjaya menamatkan Program Pensijilan Profesional dalam Teknologi Industri dan Pengurusan selama 12 bulan sebelum diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Iklan
Iklan

Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Dr Zaliman Sauli berkata, program hasil kerjasama strategik antara universiti itu dengan MCMC dilaksanakan secara bersemuka dengan memberi penekanan terhadap pembelajaran berterusan.

Menurutnya, peserta tidak perlu menduduki peperiksaan akhir, sebaliknya dinilai menerusi kuiz, tugasan dan pelbagai bentuk penilaian sepanjang pengajian.

Iklan

"Pendekatan tersebut membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari secara berperingkat, di samping menghubungkan pengalaman sebenar di tempat kerja dengan kemahiran dalam bidang teknologi, pengurusan, komunikasi dan penyelesaian masalah.

"Menariknya, mereka ini terdiri daripada kakitangan sokongan yang menjalankan pelbagai fungsi dalam organisasi, sekali gus memperlihatkan bahawa peluang meningkatkan kelayakan profesional perlu terbuka kepada semua lapisan tenaga kerja," katanya pada Selasa.

Iklan

Zaliman berkata, pengalaman bekerja merupakan aset bernilai yang boleh dijadikan asas kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Jelas beliau, peluang menimba ilmu tidak seharusnya terhad kepada golongan yang baharu memulakan kerjaya, malah perlu diperluas kepada mereka yang telah lama berkhidmat.

"Pengalaman kerja yang dikumpulkan selama bertahun-tahun mempunyai nilai yang besar, di samping peluang pembelajaran dan pengiktirafan bersesuaian, pengalaman tersebut boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan kompetensi serta perkembangan kerjaya seseorang," ujarnya.

Dalam pada itu, Zaliman berkata, kerjasama itu mencerminkan peranan universiti sebagai rakan pembangunan industri dalam menyediakan program pendidikan dan latihan yang memenuhi keperluan organisasi.

Sementara itu, jurucakap MCMC berkata, pelaksanaan program berdasarkan keperluan majikan itu membuktikan komitmen organisasi dalam menyediakan laluan kemajuan kerjaya kepada kakitangan sokongan.

Menurutnya, peserta turut berpeluang mengembangkan kerjaya masing-masing menerusi tawaran yang dijanjikan pihak pengurusan sumber manusia (HR).

Katanya, kejayaan kakitangan terbabit membuktikan usia dan tempoh perkhidmatan bukan penghalang untuk seseorang terus meningkatkan ilmu serta kemahiran.