GEORGE TOWN- Seramai 16 graduan bakal mencipta sejarah sebagai kohort sulung enam program pengajian peringkat sarjana Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 yang berlangsung bermula 24 November hingga 1 Disember ini.
Enam program berkenaan merangkumi bidang Pembungkusan Semikonduktor Termaju, Pengurusan Kejuruteraan Pembuatan Termaju, Pergigian, Teknologi Bioproses, Keselamatan Siber serta Reka Bentuk dan Teknologi Pembelajaran.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, daripada jumlah itu, tujuh graduan merupakan penerima Sarjana Sains Pergigian manakala tiga lagi menerima Sarjana Keselamatan Siber.
Menurutnya, dua graduan masing-masing menerima Sarjana Sains dalam Pembungkusan Semikonduktor Termaju dan Sarjana Reka Bentuk dan Teknologi Pembelajaran.
“Selain itu, seorang graduan menerima Sarjana Sains dalam Pengurusan Kejuruteraan Pembuatan Termaju dan seorang lagi Sarjana Teknologi Bioproses.
“Kesemua mereka akan menerima ijazah pada Sidang Pertama yang dijadual berlangsung pada 24 November,” katanya pada sidang media khas sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Bangunan Canselori USM di sini pada Isnin.
Abdul Rahman berkata, Sidang Pertama itu akan dipengerusikan Raja Perlis merangkap Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, bermula jam 10.30 pagi di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP).
Beliau berkata, Tuanku Canselor turut berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Pingat Emas Canselor kepada pelajar terbaik USM dalam semua lapangan pada sidang berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata, konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr Zainal Arifin Mohd Ishak dan Profesor Emerita kepada Dr Tan Sooi Beng.
"Secara keseluruhan, seramai 9,134 graduan bakal menerima ijazah masing-masing sepanjang lapan hari upacara konvokesyen yang melibatkan 14 sidang itu.
"Jumlah berkenaan merangkumi 1,054 graduan Doktor Falsafah (PhD), 3,157 graduan sarjana, 4,891 graduan sarjana muda serta 30 graduan Diploma Kejururawatan," ujarnya.
Menurutnya, sebanyak 14 sidang akan diadakan sepanjang tempoh berkenaan.
Antara bidang pengajian berkenaan ialah Pembungkusan Semikonduktor Termaju, Pengurusan Kejuruteraan Pembuatan Termaju dan Keselamatan Siber.
Katanya, penawaran program berkenaan merupakan sebahagian usaha USM memperluas kepakaran dalam bidang teknologi tinggi dan kritikal, selaras dengan perkembangan serta permintaan industri.
Sementara itu, tiga Pro-Canselor USM akan mengetuai sidang konvokesyen sepanjang sembilan hari berkenaan.
Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan akan mempengerusikan sidang kedua hingga kelima manakala Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali mengendalikan sidang keenam hingga kelapan.
Bagi sidang kesembilan hingga ke-14 pula, ia akan dipengerusikan Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.
Selain itu, Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen (ConvEx) dijadual berlangsung pada 24 November ini, jam 5 petang.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, USM turut memperkenalkan beberapa graduan berprestasi cemerlang yang bakal menerima anugerah utama termasuk Anugerah Pingat Emas Canselor.
Katanya, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sanggar Sanjung 2025 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) malam ini bagi mengiktiraf pencapaian warga universiti itu khususnya dalam bidang penyelidikan.