ALOR SETAR – Aman Central menawarkan pengalaman sambutan Krismas berkonsepkan dunia pengembaraan filem Jumanji menerusi penganjuran The Great Christmas Adventure 2026 yang berlangsung dari 20 November hingga 27 Disember ini.
Bekerjasama dengan Sony Pictures Malaysia, sambutan tahunan itu menampilkan pelbagai tarikan termasuk hiasan bertemakan hutan tropika, persembahan hiburan, aktiviti kekeluargaan, pertandingan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, antara tarikan utama ialah pokok Krismas setinggi 37 kaki yang dilengkapi ciri laluan untuk pengunjung meneroka bahagian bawah struktur berkenaan.
Menurutnya, suasana pengembaraan Jumanji turut diserlahkan menerusi kehadiran dua arca rusa kutub, patung Santa Claus serta replika haiwan hutan seperti gajah, flamingo, harimau kumbang, badak air, buaya dan burung enggang.
Menariknya, kerjasama Aman Central dengan Sony Pictures Entertainment menerusi tema Jumanji itu bukan perkara baharu apabila kedua-dua pihak pernah menjayakan sambutan Krismas berkonsepkan filem berkenaan pada 2019.
Selain hiasan perayaan, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan The Ultimate Adventure Show dan Rimbara Spirit yang menampilkan aksi bertenaga, kesan khas serta kemunculan maskot Christmas Tree, Ginger dan Santa Claus.
Ken Chin berkata, Aman Central turut menganjurkan pertandingan Open World Contest yang menggalakkan pengunjung menghasilkan gambar kreatif atau video TikTok dengan latar hiasan Krismas pusat beli-belah berkenaan.
Katanya, penyertaan terbaik berpeluang menerima hadiah misteri bagi setiap penyertaan sah manakala 20 karya kreatif terbaik akan menerima barangan eksklusif Jumanji daripada Sony Pictures dan Juara utama membawa pulang baucar pelancongan bernilai RM2,000 untuk dua orang.
Dalam perkembangan sama, program penebusan koleksi eksklusif Jumanji turut ditawarkan kepada pengunjung berdasarkan jumlah perbelanjaan minimum antara RM500 hingga RM2,500 mengikut empat peringkat sepanjang tempoh kempen.
Bagi menambah pengisian aktiviti, dua bengkel kreatif iaitu Jungle Planting Workshop pada 11 Disember dan Wrap-It-In Leather Workshop pada 18 Disember turut dianjurkan dengan syarat penyertaan berdasarkan jumlah perbelanjaan tertentu.
Sementara itu, menerusi inisiatif CSR Gala Premiere pada 23 Disember ini, Aman Central bersama Sony Pictures Entertainment Malaysia, GSC dan McDonald's akan membawa kanak-kanak daripada rumah kebajikan terpilih menikmati pengalaman menonton filem di pawagam.
Setiap kanak-kanak yang menyertai program itu akan menerima tiket wayang, popcorn dan minuman percuma sebagai sebahagian usaha berkongsi kegembiraan sempena musim perayaan.
Selain itu, persembahan Joyful Christmas Carols turut dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 23 Disember pada jam 8 malam bagi memeriahkan lagi suasana sambutan di pusat beli-belah berkenaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual aktiviti, pertandingan dan promosi The Great Christmas Adventure 2026 menerusi laman media sosial rasmi Aman Central.