GEORGE TOWN - Diagnosis autisme sejak kecil tidak menghalang Ong Zhi Lin, 24, membuktikan kemampuannya dalam bidang akademik apabila berjaya menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.
Graduan Sains Gunaan dengan pengkhususan Statistik Gunaan itu turut menerima Pingat Emas USM bagi kategori pelajar kelainan upaya.
Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Segamat, Johor itu merupakan anak kepada pasangan Ong Kim Huat, 63, dan Gan Yee Wai, 53.
Zhi Lin berkata, kejayaannya didorong disiplin diri dan kaedah pembelajaran yang tidak hanya bergantung kepada penerangan pensyarah.
"Saya memperuntukkan kira-kira dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran selain menggunakan sumber tambahan seperti Google dan YouTube.
"Kalau saya tidak faham sesuatu perkara, saya akan cari maklumat melalui Google atau YouTube. Jika masih tidak faham, saya akan minta pensyarah terangkan semula.
"Ada kalanya pensyarah mengajar terlalu cepat, jadi saya perlu cari kaedah lain untuk memahami sesuatu topik," katanya ketika sidang akhbar khas sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 USM di Bangunan Canselori USM di sini pada Isnin.
Menurutnya, dia lebih mengutamakan pemahaman dan aplikasi ilmu berbanding menghafal fakta semata-mata untuk menghadapi peperiksaan.
Anak kepada penoreh getah dan suri rumah itu berkata, tugasan pensyarah turut membantunya mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar.
Walaupun berdepan cabaran menguruskan masa antara kuliah, aktiviti kokurikulum dan rehat, Zhi Lin tetap aktif menyertai USM Bridge and Chess Club selama tiga tahun serta Persatuan Pelajar Buddha selama dua tahun.
Mengulas pengalamannya sebagai individu autisme, Zhi Lin berkata, dia tidak menghadapi masalah besar untuk bergaul kerana rakan sebilik dan rakan sekuliah melayannya seperti pelajar lain.
Malah, ada antara mereka hanya mengetahui keadaannya ketika menduduki peperiksaan.
Zhi Lin yang merupakan satu-satunya individu autisme dalam keluarganya mendapat pendidikan di sekolah aliran biasa sejak prasekolah, manakala kedua-dua adik-beradiknya melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Selepas tamat pengajian, saya kini bekerja sebagai juruanalisis di EasyParcel sejak Ogos lalu. Saya merancang untuk mengumpul pengalaman kerja selama beberapa tahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana.
"Bagi saya, kejayaan yang diraih bukan sekadar pencapaian akademik sebaliknya bukti bahawa kekurangan yang dilihat oleh sesetengah pihak tidak seharusnya menjadi batasan untuk seseorang mencapai impian," ujarnya.
Sementara itu, Fariza Mohd Fauzan, 24, yang bekerja sambilan sebagai barista bagi meringankan beban kewangan keluarga turut mencatat kecemerlangan apabila memperoleh PNGK 3.77 dalam bidang Sains Kemasyarakatan.
Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Dungun, Terengganu itu menerima Anugerah Pelajaran Diraja-Majlis Raja-Raja Malaysia bagi kategori pelajar terbaik bumiputera.
Fariza yang mengambil pengkhususan major Perancangan dan Pengurusan Pembangunan serta minor Psikologi turut menjadi anak pertama dalam keluarganya melanjutkan pengajian ke universiti.
Anak pasangan peniaga itu berkata, dia menerima bantuan pembayaran yuran pengajian menerusi program Siswa Sulung USM, tidak termasuk yuran penginapan.
"Saya bekerja sambilan kerana mahu meringankan beban kedua-dua ibu bapa memandangkan saya merasakan adik-adik masih lebih memerlukan bantuan tambahan pula dua lagi adik saya masih belajar.
"Pada masa sama, saya mahu mendapatkan pengalaman bekerja kerana percaya banyak perkara yang tidak dapat dipelajari hanya dengan berada di dalam dewan kuliah," katanya.
Fariza mula bekerja sebagai barista di sebuah kafe dalam kampus ketika semester empat selepas berjaya menyesuaikan diri dengan jadual pengajian.
Menurutnya, pengurusan masa yang baik membolehkannya mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan pekerja.
"Saya akan susun jadual dan utamakan perkara yang lebih penting terlebih dahulu. Ada kalanya selepas habis kuliah, saya terus pergi bekerja dan hanya dapat mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.
"Walaupun bekerja sambilan, saya tidak pernah ponteng kelas kerana pelajaran tetap menjadi keutamaan," katanya.
Selepas menamatkan latihan industri, Fariza merancang untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), sama ada di dalam atau luar negara.
Seorang lagi graduan cemerlang, Tarmini, 23, menerima Anugerah Pingat Emas Canselor selepas memperoleh PNGK 3.88 dalam bidang Sains Bioperubatan.
Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu berjaya menamatkan pengajian selama empat tahun di USM Kampus Kesihatan, Kelantan walaupun berdepan cabaran berjauhan daripada keluarga.
Tarmini yang kini bekerja sebagai penolong penyelidik di Universiti Malaya (UM) berkata, anugerah berkenaan menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan cabaran yang dilaluinya sepanjang pengajian.
Menurutnya, antara pengalaman paling mencabar ialah berjauhan daripada kembar tidak seirasnya, Tarini, 23, yang sentiasa bersama sejak kecil.
Selepas tamat persekolahan, Tarmini melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah sebelum memasuki USM, manakala kembarnya mengikuti pengajian Tingkatan Enam sebelum menyambung pengajian undang-undang di UM.
Tarmini yang merupakan anak kepada pemandu lori, S Sivanesan, 53, dan suri rumah, Sarina Khairuddin, 47, berkata, pengalaman berjauhan daripada keluarga mengajarnya untuk lebih berdikari.
Mengulas perancangan masa depan, Tarmini berhasrat membina kerjaya dalam bidang penyelidikan, khususnya farmakogenetik dan neurosains.
Minatnya terhadap bidang itu didorong latar belakang akademik Sains Bioperubatan serta pengalaman menjalankan projek tahun akhir berkaitan neurosains.
Dia turut merancang menyambung pengajian ke peringkat sarjana atau PhD bagi memperkukuh kepakarannya dalam bidang penyelidikan.
Selain cemerlang dalam akademik, Tarmini juga menguasai empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.