KUANTAN - Pahang kini hanya selangkah untuk mencapai status negeri bandar pintar sepenuhnya apabila lapan daripada 13 bandar utamanya telah menerima pengiktirafan bandar pintar, manakala tiga lagi disasarkan memperoleh status sama seawal tahun depan hasil suntikan peruntukan RM2.1 juta daripada PLANMalaysia.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan pintar yang memberi tumpuan kepada aspek kemampanan, teknologi dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, daripada 13 bandar utama di Pahang, lapan daripadanya telah menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Bandar Paling Mampan 2026.
Bandar yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Lipis, Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin.
"Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter 2026 ialah Majlis Daerah Bera, Majlis Daerah Jerantut, Majlis Daerah Raub dan Majlis Daerah Rompin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pahang Smart City 2026 dan Pelancaran Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 di sini pada Khamis.
Menurutnya, Blueprint Smart City Negeri Pahang 2040 yang membawa aspirasi 'Pahang Pintar, Makmur dan Lestari' menjadi panduan utama ke arah pembangunan bandar berasaskan teknologi dan kemampanan di negeri itu.
Blueprint tersebut menggariskan 14 dasar, 27 strategi dan 69 inisiatif bandar pintar yang akan dijadikan rujukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, jabatan serta agensi berkaitan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan bandar sehingga tahun 2040.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan yang diterima untuk membantu tiga lagi bandar utama memperoleh pengiktirafan bandar pintar selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
"Kita akan berusaha memastikan semua bandar utama di Pahang mencapai standard bandar pintar yang ditetapkan.
"Pengiktirafan ini membuktikan PBT di Pahang mempunyai keupayaan, kesediaan dan komitmen untuk bergerak ke arah pengurusan bandar yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing," katanya.