KUANTAN- Kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti kepercayaan rakyat negeri itu kepada Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas kepercayaan dan mandat yang diberikan.
Menurutnya, kemenangan itu hasil kerja keras, pengorbanan dan semangat juang seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang 14 hari tempoh berkempen.
"Penghargaan khusus turut diberikan kepada jentera BN dari Pahang yang turun padang membantu memastikan kelancaran gerak kerja kempen parti di negeri itu.
"Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT atas kemenangan yang dicapai dalam PRN Melaka kali ini," ujarnya melalui hantaran di Facebooknya.
Kemenangan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka menyaksikan kedua-dua parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri, sekali gus meneruskan kepimpinan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pakatan Harapan (PH) memenangi empat kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi.
Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN dan UMNO Pahang turut berharap amanah tersebut dapat dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan Melaka terus berada pada landasan pembangunan yang dirancang.
"Insya-ALLAH, amanah ini akan dilaksanakan sebaiknya demi memastikan Melaka terus stabil, maju, makmur dan sejahtera," katanya.