Jenayah komersial: Pahang rekod kerugian RM62.4 juta

Iklan
Azry memakaikan lencana pangkat kepada salah seorang pegawai yang dinaikan pangkat DSP.

KUANTAN - Pahang merekodkan kerugian RM62.4 juta akibat jenayah komersial dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, jumlah itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding RM83.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang turut berjaya menyita lebih RM458,000 menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), dengan RM369,561 daripadanya berjaya dipulangkan kepada mangsa.

"Dalam tempoh 10 bulan tahun ini, 2,754 kertas siasatan komersial telah dibuka dengan 2,098 tangkapan dilaksanakan.

Iklan

"Jumlah kertas pertuduhan turut bertambah kepada 1,104 atau 16.58 peratus tahun ini berbanding 947 kertas pertuduhan tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perhimpunan bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Iklan

Azry berkata, bagi jenayah narkotik, pihaknya berjaya melakukan 11,533 tangkapan, manakala nilai rampasan dadah RM9.8 juta direkodkan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

"Bagi kes tangkapan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), 60 tangkapan telah dilaksanakan dalam tempoh itu," katanya.

Sempena majlis itu, Azry menyempurnakan pemakaian lencana pangkat kepada 13 pegawai yang menerima kenaikan Deputi Superintenden (DSP) dan menyampaikan sijil penghargaan kepada lapan penerima.