PAIP selesai baiki paip utama Rumah Pam Kobat, bekalan air pulih berperingkat

Iklan
Kerja-kerja penyelenggaraan di Rumah Pam Kobat berjaya dilaksanakan dengan efisien tanpa sebarang insiden tidak diingini.

KUANTAN – Kerja-kerja pembaikan kebocoran paip utama serta penyelenggaraan semua instrumen kritikal di Rumah Pam Kobat di sini berjaya disiapkan sepenuhnya kira-kira jam 9.45 malam pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, proses berkenaan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kelestarian bekalan air di daerah tersebut pada masa hadapan.

“Pam air mentah di Rumah Pam Kobat telah kembali beroperasi pada jam 10 malam ini bagi menyalurkan sumber air ke Loji Rawatan Air (LRA) Semambu untuk proses rawatan.

Iklan

“Tangki imbangan dan tangki simpanan akan dipenuhi terlebih dahulu bagi membina tekanan sistem dan memastikan aliran bekalan berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 85,650 pengguna di sekitar daerah Kuantan berdepan gangguan bekalan air selama 24 hingga 48 jam susulan kerja kecemasan pembaikan kebocoran saluran paip di Rumah Pam Kobat Fasa 1.

Iklan

Kerja kecemasan itu melibatkan pembaikan kebocoran saluran paip utama serta pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan berkaitan.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Beserah hingga sempadan Chendor, Batu Hitam, Balok, Sungai Ular, Cherating, Gebeng, kawasan Perindustrian Gebeng, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dan Pelabuhan Kuantan.

Sementara itu, Saiful Zaini berkata, pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat dalam masa terdekat selepas proses rawatan air selesai dilaksanakan.

Beliau berkata, tempoh pemulihan bekalan berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada jarak premis pengguna serta tekanan dalam sistem agihan bekalan air.

“Bekalan alternatif menerusi lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan yang masih terjejas sehingga semua kawasan kembali pulih sepenuhnya.

“Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini.

“Komitmen serta doa daripada pengguna menjadi dorongan kepada kami untuk terus melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan pantas,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999 yang beroperasi selama 18 jam sehari bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.