10 Exco tarik balik kes saman pemula, diarah bayar ganti rugi

Iklan
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan 10 Exco yang dibatalkan pelantikannya untuk menarik balik keseluruhan tindakan saman pemula yang difailkan terhadap tiga defendan termasuk kerajaan negeri. Foto fail Bernama.

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan permohonan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibatalkan pelantikannya untuk menarik balik keseluruhan tindakan saman pemula yang difailkan terhadap tiga defendan termasuk kerajaan negeri.

Ia turut membabitkan permohonan di bawah bidang kuasa asal di Mahkamah Persekutuan dengan syarat tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Iklan
Iklan

Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain membuat keputusan berkenaan ketika prosiding pengurusan kes yang berlangsung secara sidang video.

Beliau turut memerintahkan plaintif membayar kos seperti yang dipersetujui bersama pihak defendan, iaitu RM20,000 masing-masing kepada defendan pertama dan kedua (Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan) serta RM8,000 kepada defendan ketiga (Dewan Keadilan dan Undang).

Iklan

Terdahulu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili kesemua plaintif memaklumkan kepada mahkamah bahawa penarikan balik tindakan itu dibuat susulan perkembangan semasa, termasuk peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang turut memberi kesan kepada kedudukan keseluruhan Exco.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Lasim letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Iklan

BN kemuka satu nama calon MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

Peletakan jawatan MB Negeri Sembilan perlu perkenan Tuanku Muhriz -Istana

Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin

Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin

Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau

[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan

Hafarizam turut memohon supaya penarikan balik berkenaan direkodkan sebagai perintah mahkamah bagi tujuan merekodkan penamatan prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Roz Mawar mempersoalkan status peletakan jawatan Menteri Besar yang difahamkan masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Hafarizam berkata, beliau sememangnya berpendapat prosiding itu wajar ditangguhkan sementara menunggu perkenan Tuanku, namun cadangan tersebut mendapat bantahan daripada pihak defendan.

Peguam, Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, pihaknya bersetuju dengan penarikan balik saman tersebut dengan syarat ia dibuat tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, termasuk melalui semakan kehakiman.

Beliau turut memaklumkan persetujuan berhubung kos yang perlu dibayar plaintif kepada pihak defendan serta memohon supaya penarikan balik berkenaan direkodkan sebagai perintah mahkamah.

Peguam, Datuk Steven Thiru yang mewakili defendan ketiga iaitu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) turut mengesahkan persetujuan pihaknya terhadap penarikan balik tindakan berkenaan.

Roz Mawar sebelum membuat keputusan berkata, mahkamah tidak menghalang mana-mana pihak yang ingin menarik balik tindakan yang difailkan, namun pihak yang memulakan prosiding perlu bertanggungjawab terhadap tindakan terbabit.

Menurutnya, sepanjang tempoh lima bulan sejak saman pemula itu difailkan, mahkamah telah mengendalikan pelbagai permohonan termasuk permohonan defendan ketiga untuk mencelah, selain memberikan tempoh masa bagi memastikan perkara berkenaan dapat diputuskan dengan sewajarnya.

Untuk rekod, saman pemula itu difailkan 10 Exco pada 5 Oktober lalu.

Exco terbabit ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (ADUN Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong), Siow Kong Choon (ADUN Chennah) dan Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu).

Selain itu, Datuk Mohd Asna Amin (ADUN Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (ADUN Sungai Lui) Suhaimizan Bizar (ADUN Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (ADUN Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).