Lelaki ceroboh Wisma Darul Aman diperintahkan jalani rawatan psikiatri

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR - Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang lelaki yang didakwa menceroboh masuk Wisma Darul Aman, menjalani pemeriksaan psikiatri sebelum perbicaraan diteruskan.

Hakim Sharmila Abdul Samad membenarkan tertuduh, Mohd Affandi Hashim, 45, menjalani rawatan tersebut seperti mana permohonan peguamnya, Ilyana Syafiqa Md Saad.

Iklan
Iklan

Menurut peguam, permohonan mendapatkan rawatan dibuat berdasarkan maklumat awal keluarga di mana tertuduh pernah mengalami halusinasi sebelum ini.

Tertuduh sebelum itu mohon dibicarakan atas dua pertuduhan iaitu memiliki senjata berbahaya dan menceroboh masuk Wisma Darul Aman tanpa kebenaran pada jam lebih kurang 8.10 pagi 15 November lalu.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau bersarung warna hitam berukuran 15 sentimeter tanpa kebenaran sah yang memperuntukkan hukuman bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan kakisan, letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Iklan

Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki Wisma Darul Aman tanpa kebenaran dengan niat melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bagi mengesahkan tahap kesihatannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin.

Sebutan semula kes ditetapkan 15 Disember depan.