KOTA KINABALU - Menjadikan banglo mewah sebagai pusat kegiatan penipuan dalam talian selain sering berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa adalah modus operandi sekumpulan warga China yang menjalankan aktiviti penipuan (scam) di negeri ini.
Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Ops Serkap di sebuah banglo di kawasan perumahan Damai di sini pada Selasa.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kumpulan terbabit dipercayai sering menukar lokasi operasi apabila menyedari pergerakan mereka dipantau pihak berkuasa.
"Modus operandi mereka adalah berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat. Sekiranya mereka menghidu kehadiran mereka sedang dipantau, mereka akan berpindah ke tempat lain.
"Sebab bila kita buat risikan di satu tempat, kita dapati keesokannya sudah berpindah. Jadi pasukan risikan kita akan terus mengikuti pergerakan mereka," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JIM Sabah di sini pada Rabu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 12 individu terbabit mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan.
Katanya, seramai 10 individu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan, manakala masing-masing seorang mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) kerana menyalahgunakan pas.
"Berdasarkan pemeriksaan, kita dapati mereka ini memang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dan peralatan yang dirampas adalah untuk tujuan siasatan lanjut.
"Kita mahu memastikan dan mengesahkan mereka ini memang telah melakukan kesalahan khususnya membabitkan aktiviti penipuan dalam talian," katanya.
Sh Sitti Saleha berkata, pihaknya turut merampas 153 telefon bimbit pelbagai model, 11 komputer, satu unit pemprosesan pusat (CPU), sebuah mesin pencetak, 13 penghala (router) dan tujuh pengecas.
Pihaknya turut merampas 22 keping kad SIM, tiga pasport China serta pelbagai mata wang termasuk Kemboja, Vietnam, China, Thailand dan Malaysia.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap sebuah komputer yang masih belum dikunci ketika serbuan turut menemukan rekod transaksi kewangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan berkenaan.
"Ketika serbuan dibuat, 10 komputer telah dilog keluar dan hanya satu komputer yang kita berjaya melihat transaksi.
"Kebanyakan transaksi yang dilihat adalah sekitar AS$950 (RM3,904) hingga AS$1,500 (RM6,164) termasuk satu bayaran sebanyak AS$952 (RM3912) yang dimasukkan ke dalam akaun scammer berkenaan," katanya.
Menurutnya, berdasarkan transaksi yang dikesan, premis berkenaan dipercayai turut digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan yang menyasarkan mangsa dari luar Malaysia.
Katanya, kebanyakan mangsa dipercayai berasal dari China, selain terdapat petunjuk transaksi membabitkan beberapa negara lain termasuk India, Kemboja dan Vietnam.
"Kita nampak mereka menggunakan tempat itu untuk menjalankan aktiviti penipuan ke seluruh negara termasuk di luar Malaysia.
"Kebanyakan mangsa yang kita nampak adalah dari China, tetapi ada juga dari India, Kemboja dan Vietnam," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menyiasat pemilik premis dan individu yang dipercayai menggaji kumpulan warga asing berkenaan untuk menjalankan kegiatan penipuan itu.