Tanah runtuh, rumah warga emas rosak, dimasuki air

Iklan
Keadaan sebuah rumah yang didiami seorang lelaki warga emas di Kampung Bukit Merah, rosak susulan kejadian tanah runtuh pada Ahad. - Foto: JBPM Perak

BAGAN SERAI - Sebuah rumah yang didiami seorang warga emas di Kampung Bukit Merah di sini mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh pada Ahad.

Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai pada jam 7.05 malam.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berjaya dibantu keluar dari rumah berkenaan oleh orang awam sebelum ditempatkan sementara di sebuah kedai berhampiran kediamannya.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati bumbung tambahan di bahagian belakang rumah tersebut telah runtuh, manakala limpahan air dan tanah memasuki kediaman berkenaan.

Iklan

"Ketua operasi melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota yang memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.

"Mangsa turut dinasihati supaya berpindah berikutan keadaan masih hujan dan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, operasi itu melibatkan tujuh anggota yang menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Operasi berjaya dikawal pada jam 7.43 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.20 malam," katanya.

Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.