Sultan Nazrin kurnia darjah kebesaran, pingat kepada 24 penerima

Iklan
Sultan Nazrin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Arul Rajoo Durar Raj pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 di Istana Iskandariah pada Ahad. Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 24 penerima bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-70 di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Keberangkatan baginda jam 8.30 pagi diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Iklan
Iklan

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Iklan

Penerima ini merupakan sebahagian daripada 218 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 6 November.

Mendahului senarai penerima ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Jizaini Mohd Zainuddin dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.

Iklan

Sultan Nazrin juga mengurniakan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Baginda turut mengurniakan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) membawa gelaran Datuk kepada Akauntan Negara Malaysia, Nasran Omar.

Sultan Nazrin kemudiannya mengurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk kepada 13 penerima iaitu Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Noor Hadina Ahmad Zabidi; Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah; Naib Cancelor Universiti Malaya, Datuk Seri Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dan Naib Cancelor Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Selain itu, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Muhammad Akmal Ila Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Halizah Sipun; Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar; Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Adi Osman; Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir Lokman Abd Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Mohd Azhar Mohd Yusof dan Pengerusi Eksekutif Pricewaterhouse Coopers Malaysia, Nurul Ain Abdul Latif turut dikurniakan DPMP.

Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada lapan individu antaranya Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh; Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Ibrahim Darus; Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

Terdahulu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kehormatan yang dimulakan dengan Lagu Kebesaran Perak Darul Ridzuan.

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan melakukan pemeriksaan kawalan keselamatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.

Istiadat turut diserikan dengan 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang berpengkalan di Kem Sungai Buloh, diketuai Leftenan Kolonel Hafizan Mat Ghani.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak berlangsung dalam dua sesi iaitu pada 15 dan 21 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.