Pengorbanan Pas di Melaka harus dibalas di Perak

Iklan
Hamidah

IPOH – Sikap toleransi dan pengorbanan Pas yang bersedia menerima pembahagian kerusi secara terhad bagi memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baru berlangsung perlu dibalas dengan pendekatan sama oleh UMNO di Perak jika berlaku pilihan raya.

Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, kesediaan Pas menerima formula pembahagian kerusi di Melaka membuktikan parti itu mengutamakan kerjasama politik dan perpaduan ummah berbanding kepentingan parti sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengorbanan Pas di Melaka bukanlah sesuatu yang baharu kerana pendekatan sama telah ditunjukkan sebelum ini dalam rundingan pembahagian kerusi di Johor dan Negeri Sembilan.

“Di Melaka, Pas sekali lagi menunjukkan sikap toleransi apabila bersedia menerima formula pembahagian kerusi yang memberi ruang kepada UMNO. Namun, kita perlu ingat bahawa perkara ini bukan berlaku di Melaka sahaja. Sebelum ini di Johor dan Negeri Sembilan Pas juga akur kepada formula yang dipersetujui UMNO iaitu mengekalkan kerusi kemenangan masing-masing mengikut parti.

Iklan

“Jadi jelas bahawa Pas bukan sahaja bertolak ansur malah telah beberapa kali menunjukkan kesediaan untuk menerima formula UMNO demi memastikan kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hamidah berkata, walaupun BN mempunyai kelebihan dari segi jumlah kerusi yang dimenangi pada PRN Melaka sebelum ini prestasi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan situasi berbeza apabila gagal memenangi mana-mana kerusi Parlimen yang ditandingi di negeri berkenaan.

Iklan

Mengulas pembahagian kerusi di Perak, beliau yang baru menyertai Pas berkata, prinsip dan formula yang sama perlu diterapkan dengan mengambil kira kedudukan kerusi yang dimenangi setiap parti pada pilihan raya sebelum ini.

Katanya, PN perlu diberikan sekurang-kurangnya 26 kerusi untuk ditandingi di Perak berdasarkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PN pada PRU15.

Beliau menegaskan bahawa tidak wajar sekiranya formula yang diterima dan dipersetujui di negeri-negeri lain tidak lagi dihormati apabila tiba giliran rundingan di Perak.

“Kalau di Melaka Pas boleh bertolak ansur dan menerima formula yang memberi kelebihan kepada UMNO begitu juga di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini maka saya fikir UMNO juga perlu menunjukkan sikap yang sama di Perak.

"Kerjasama politik tidak boleh bersifat sehala. Pas sudah menunjukkan pengorbanannya. Kini UMNO perlu membuktikan bahawa mereka juga mempunyai semangat toleransi dan keadilan yang sama,” katanya.

Menurutnya, kesediaan BN memberikan ruang sewajarnya kepada PN di Perak akan menjadi ukuran terhadap keikhlasan sebenar kerjasama antara kedua-dua gabungan politik itu.

“Rakyat sedang memerhatikan. Keikhlasan dalam kerjasama bukan diukur melalui kata-kata, tetapi melalui kesediaan kedua-dua pihak untuk saling menghormati dan berlaku adil.

“Jika Pas boleh berpegang kepada formula yang dipersetujui demi perpaduan, UMNO juga perlu berpegang kepada prinsip yang sama apabila tiba masanya di Perak,” katanya.