KUALA KANGSAR - Perak berupaya mencatat lebihan kewangan bagi tahun kelima berturut-turut apabila unjuran defisit RM95.5 juta berjaya diatasi menerusi pengurusan kewangan negeri yang semakin kukuh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian itu didorong kedudukan kewangan negeri yang semakin baik dengan kutipan hasil mencecah RM1.1 bilion ketika menghampiri penghujung tahun ini.
Menurutnya, jumlah berkenaan meletakkan kerajaan negeri pada landasan tepat untuk mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM1.48 bilion.
"Sesungguhnya patik menginsafi hakikat bahawa khazanah negeri bukan untuk dimegahkan, tetapi dipelihara, bukan untuk diboroskan tetapi untuk dimanfaatkan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negeri yang berpanjangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-70 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.
Saarani berkata, kerajaan negeri terus menjadikan Pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai panduan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergerak seiring.
Katanya, ekonomi Perak menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat pertumbuhan 5.7 peratus pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM91.5 bilion berbanding RM86.6 bilion pada tahun sebelumnya.
"Sektor pembuatan kembali bangkit sebagai nadi perindustrian negeri dengan pertumbuhan 15.2 peratus pada tahun 2025, melonjak tiga kali gada berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Saarani berkata, perkembangan ekonomi turut memberi kesan kepada pasaran pekerjaan apabila kadar pengangguran yang pernah mencecah 4.8 peratus pada 2021 menurun kepada 3.5 peratus pada 2025.
Ujarnya, jumlah penduduk bekerja pula mencecah 1.2 juta orang pada suku kedua tahun ini, manakala kekosongan jawatan yang diiklankan meningkat 40.7 peratus kepada 71,815 jawatan pada 2025.
"Sebanyak 14,105 penempatan pekerjaan direkodkan pada tahun lalu dengan penempatan bergaji RM2,000 ke atas meningkat 107 peratus, manakala pekerjaan bergaji RM3,000 ke atas melonjak 93 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat menerusi pelaksanaan Program Pasar Sejahtera Rakyat Perak.
Menurutnya, peruntukan program itu ditambah kepada RM3.2 juta dengan 132 program dilaksanakan sehingga September lalu, melibatkan lebih 28,000 penduduk.
Selain itu, Inisiatif Perak Sejahtera: Prihatin Rakyat 2026 turut menyediakan kemudahan kepada rakyat melalui kelonggaran urusan tanah, lanjutan tempoh bayaran, pengecualian denda serta pengurangan fi.
Mengenai Belanjawan 2027, Saarani berkata, tujuh daripada 10 cadangan projek pembangunan yang dikemukakan kerajaan negeri telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Katanya, antara projek yang mendapat kelulusan termasuk pembinaan kompleks pendidikan di Sitiawan, kemudahan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), projek tebatan banjir Sungai Sepetang serta pembinaan sekolah di Ipoh dan Chemor.
"Turut diluluskan ialah pembangunan Pusat Santuari Gajah Perak dan Balai Bomba dan Penyelamat di Proton City," katanya.