Tangki berusia 40 tahun pecah, tiada penduduk berdepan gangguan air

Iklan
Tangki air berkapasiti 455 meter padu yang pecah di Taman Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

KUALA KANGSAR – Sebuah tangki air berkapasiti 455 meter padu yang berusia lebih 40 tahun pecah di Taman Kuala Kangsar pada Sabtu, namun insiden itu tidak menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 520 pengguna di kawasan sekitar.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kejadian kira-kira jam 5 petang pada 14 November itu membabitkan tangki jenis keluli bertekanan (pressed steel) yang telah digunakan sejak 1983.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada keadaan struktur tangki yang sudah berusia lebih 40 tahun.

"Kejadian itu menyebabkan limpahan air memenuhi kawasan jalan di sekitar lokasi, namun tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima setakat ini.

Iklan

"Pemeriksaan terhadap kediaman yang terletak paling hampir dengan tangki berkenaan juga mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kerja-kerja pencucian dan pembersihan jalan di sekitar lokasi kejadian giat dilaksanakan bagi memastikan kawasan berkenaan kembali selamat.

Iklan

Mohammad Nizar berkata, tindakan segera diambil termasuk kerja-kerja pencucian dan pembersihan jalan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan kawasan berkenaan kembali selamat.

Katanya, bekalan air kepada kira-kira 520 akaun pengguna di kedua-dua taman perumahan terbabit juga disalurkan secara terus melalui paip utama bagi memastikan keperluan penduduk tidak terjejas.

"Kerja-kerja membuka kesemua panel tangki yang terjejas turut dilaksanakan sebelum penggantian tangki baharu dirancang.

"Penilaian teknikal secara menyeluruh terhadap struktur tangki lama akan dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja pemasangan tangki baharu dijalankan," katanya.

Tambah beliau, Pusat Operasi Lembaga Air Perak (LAP) Kuala Kangsar akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan air kekal stabil serta mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Tangki berkapasiti 100,000 gelen atau 455 meter padu itu menerima bekalan daripada Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri dan Kolam Ribai serta berfungsi membekalkan air kepada penduduk di Taman Kuala Kangsar dan Taman Meranti.