IPOH – Sumbangan dan pengorbanan generasi awal masyarakat India dalam pembangunan Perak menjadi sebahagian daripada sejarah penting kemakmuran negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata, kemajuan yang dinikmati hari ini tidak dapat dipisahkan daripada titik peluh generasi terdahulu yang turut menyumbang tenaga, usaha dan kebijaksanaan dalam membina kehidupan lebih baik untuk keluarga serta negeri.
Menurutnya, ada dalam kalangan generasi terdahulu yang menghabiskan usia bekerja di ladang, berniaga kecil-kecilan selain mencurahkan bakti sebagai pendidik, penjawat awam dan tenaga profesional.
"Setiap titik keringat dan jerih payah mereka telah merakam kisah pengorbanan yang kekal dalam lembaran sejarah pembangunan negeri ini.
"Warisan masyarakat India di Perak turut terpahat dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan keagamaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Saarani berkata, kewujudan 134 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Perak, iaitu jumlah tertinggi di seluruh negara, mencerminkan sejarah panjang usaha memperkasa pendidikan masyarakat India di negeri ini.
Katanya, perkembangan generasi baharu masyarakat India yang terus melangkah maju dalam bidang pendidikan tinggi, keusahawanan, teknologi dan perkhidmatan profesional turut memperlihatkan potensi besar mereka dalam menyumbang kepada masa depan Perak.
Beliau berkata, segala pengorbanan generasi terdahulu menjadi amanah kepada kerajaan negeri untuk memastikan warisan yang ditinggalkan terus menjadi asas kemakmuran serta membuahkan kesejahteraan kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, Saarani berkata, keharmonian masyarakat berbilang kaum di Perak terbina hasil kesabaran, sikap bertolak ansur dan kebijaksanaan generasi terdahulu yang memilih untuk hidup bersama dalam suasana aman meskipun berbeza keturunan, kepercayaan dan budaya.
Menurutnya, nilai kasih sayang, ihsan dan saling memahami perlu terus disuburkan dalam masyarakat, terutama ketika dunia berdepan perubahan teknologi yang pesat serta pelbagai konflik dan pergolakan.
"Sehebat mana pun pencapaian akal dan setinggi mana pun kemajuan peradaban, manusia tetap memerlukan kasih untuk menyantuni, ihsan untuk memahami dan kebijaksanaan untuk menghargai.
"Kerana kemajuan mampu mengubah wajah dunia, tetapi keluhuran budi yang memahat wajah kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada seramai 69 orang anak yatim dari enam pertubuhan serta rumah kebajikan di negeri ini.
Seramai kira-kira 15,000 rakyat hadir memeriahkan sambutan berkenaan dengan masing-masing menikmati pelbagai jenis makanan disediakan di pekarangan Stadium Indera Mulia.