PRN Melaka: Selepas tunai janji kempen bersih, BN kini fokus laksana manifesto - Azalina

Iklan
Azalina

MELAKA - Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk menunaikan janji kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 secara bersih dan berhemah tanpa menggunakan kempen hitam atau serangan peribadi terhadap pihak lawan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, BN sebaliknya memilih untuk mengetengahkan rekod perkhidmatan, keupayaan calon serta manifesto selain mendengar dan menjawab persoalan rakyat sepanjang tempoh berkempen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemenangan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata, keutamaan selepas memperoleh mandat rakyat kini adalah memastikan manifesto dilaksanakan selain memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan untuk golongan muda serta pentadbiran yang bersih, cekap dan mesra rakyat.

Iklan

“Kemenangan ini milik rakyat Melaka. Terima kasih kepada semua yang keluar mengundi bagi menentukan masa depan negeri.

“Mandat ini satu amanah. Kerajaan negeri BN-PN akan berkhidmat untuk semua dan tiada kawasan atau kaum akan ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas kepimpinan sepanjang menghadapi PRN berkenaan.

“Terima kasih kepada seluruh jentera UMNO, MCA dan MIC, Wanita,Pemuda, Puteri, ketua cawangan, petugas serta rakan PN yang bekerja sepanjang 14 hari kempen.

“Jentera digital dan disiplin naratif menjadi kekuatan penting kempen ini. Mesej BN konsisten dan berpandukan isu rakyat di lapangan serta media sosial,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan perlu diteruskan dengan memberi tumpuan kepada khidmat, fakta dan mengelakkan provokasi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha mendekati pengundi di kawasan yang belum dimenangi serta mereka yang masih belum yakin terhadap BN perlu diteruskan bagi memahami keperluan dan aspirasi rakyat.