SHAH ALAM - Seramai 26 daripada 79 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kehilangan wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi sah.
Jumlah tersebut bersamaan dengan 33 peratus atau hampir satu pertiga daripada keseluruhan calon pada pilihan raya tersebut.
Daripada jumlah itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) mencatatkan jumlah tertinggi apabila 15 daripada 16 calonnya kehilangan deposit.
Calon parti berkenaan yang bertanding di Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Telok Mas dan Serkam gagal melepasi paras minimum undi ditetapkan.
Bagaimanapun, calonnya di Bemban berjaya mengekalkan deposit.
Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merekodkan lima calon kehilangan deposit daripada tujuh kerusi yang ditandingi.
Lima kerusi berkenaan ialah Sungai Udang, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bemban, manakala calon di Lendu dan Pantai Kundor berjaya mengekalkan deposit.
Bagi Pakatan Harapan (PH) pula, dua calon mereka kehilangan deposit masing-masing di Ayer Limau dan Serkam.
Selain itu, seorang calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Gadek dan tiga calon Bebas di Bukit Katil, Bemban dan Sungai Rambai turut kehilangan deposit.
Mengikut peraturan pilihan raya, calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan atau 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi sah bagi mengelakkan wang deposit mereka dilucutkan.