PRN Melaka: Terima kekalahan dengan hati terbuka, ruang muhasabah - Mat Sabu

Iklan
Mohamad Sabu

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) perlu menerima kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dengan hati terbuka serta menjadikan keputusan itu sebagai ruang untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kekuatan organisasi.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekalahan dalam pilihan raya bukan bermakna tewas dalam perjuangan kerana perjalanan politik masih panjang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, anggota dan penyokong PH tidak seharusnya menganggap segala penat lelah yang dicurahkan sia-sia hanya kerana keputusan tidak memihak kepada gabungan itu.

“Dalam perjuangan, ada masa kita meraikan kemenangan dan ada masa kita perlu menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.

Iklan

“Kita hormati keputusan PRN Melaka kali ini walaupun tidak memihak kepada PH.

“Setiap undi yang diberikan merupakan satu amanah dan harapan yang amat besar nilainya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, PH menerima keputusan PRN Melaka dengan terbuka selepas hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Empat kerusi berkenaan ialah Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu turut mengingatkan penyokong agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan ujian.

Menurutnya, perkara yang lebih penting ialah terus bersabar, memperbaiki diri serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dalam apa jua keadaan.

“Bang Mat juga mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya mendapat mandat rakyat.

“Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat Melaka.

“Kepada seluruh sahabat seperjuangan, jangan patah semangat. Perjuangan tidak terhenti di peti undi. Selagi ada rakyat yang perlu dibela, selagi itulah kita akan terus berbakti,” ujarnya.