KUALA LUMPUR - Semua penyedia platform media sosial berlesen diwajibkan mengemukakan Pelan Keselamatan Dalam Talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selewat-lewatnya 28 Disember ini bagi memastikan persekitaran digital lebih selamat kepada pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelan berkenaan perlu memperincikan langkah dan perancangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan penyedia platform bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna, selaras dengan kewajipan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
"Platform berlesen ini perlu menghantar satu pelan keselamatan dalam talian kepada MCMC sebelum atau pada 28 Disember ini. Itu satu obligasi atau kewajipan mereka di bawah peraturan pelan keselamatan dalam talian.
"Mereka perlu mengemukakan rancangan untuk menambah baik langkah-langkah bagi memastikan platform mereka selamat untuk pengguna-pengguna," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin mengetahui kaedah pemantauan kerajaan terhadap pelaksanaan pengesahan umur sekiranya kementerian masih belum menerima data jumlah akaun yang disahkan dan disekat.
Nie Ching menjelaskan, kerajaan ketika ini juga masih dalam tempoh peralihan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur pengguna media sosial dan menjangkakan platform berkenaan memenuhi kewajipan tersebut pada awal Januari tahun depan.
"Sekarang kita masih berada dalam tempoh peralihan dan kita jangka bahawa platform akan melaksanakan obligasi ini pada awal Januari tahun depan.
"Oleh sebab itu, semua data tentang berapa akaun yang mereka telah sahkan dan tutup akan dihantar kepada kita selepas tempoh peralihan," ujarnya.
Katanya, MCMC juga boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan di bawah Seksyen 37 Akta 866 dan mengenakan penalti kewangan tidak lebih RM10 juta mengikut Seksyen 39 bagi ketidakpatuhan kewajipan berkaitan di bawah akta sama.
Nie Ching berkata, MCMC telah menguatkuasakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) sejak 1 Jun lalu bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko serta kandungan memudaratkan dalam talian.
Menurutnya, susulan penguatkuasaan itu, MCMC mengeluarkan arahan kepada Meta, TikTok dan Google supaya melaksanakan mekanisme pengesahan umur pengguna selain mendapatkan maklumat berkaitan bagi tujuan pemantauan serta penilaian tahap pematuhan.
Ujar beliau, MCMC turut meneruskan pemantauan dan sesi libat urus dengan penyedia platform sepanjang tempoh peralihan bagi memastikan mekanisme pengesahan umur dilaksanakan secara berkesan.
Mengenai ancaman akaun palsu dan ucapan kebencian pula, Nie Ching memaklumkan, mekanisme pengesahan umur bagi pengguna media sosial berusia 16 tahun ke atas tidak melibatkan pengesahan identiti akaun pengguna.
Oleh itu, katanya, pelaksanaan mekanisme itu tidak secara langsung dapat menangani masalah akaun palsu, sebaliknya memerlukan penelitian dan perbincangan lebih mendalam mengenai langkah bersesuaian.