Pembangunan pendidikan, ekonomi di selatan Thailand terus dipertingkat - SBPAC

Iklan
Pengerusi Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Dr Khodari Sen

PATTANI - Pembangunan di wilayah selatan Thailand terus dilaksanakan termasuk sektor pendidikan dan ekonomi sekali gus menunjukkan peningkatan yang baik sejak krisis keselamatan pada 2004.

Pengerusi Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Dr Khodari Sen berkata, pihaknya melihat dengan penuh yakin bahawa kerajaan demokrasi akan mampu membangunkan ekonomi serta pembangunan di wilayah ini lebih baik.

Iklan
Iklan

Katanya, Majlis Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan SBPAC sendiri mengadakan perbincangan bersama masyarakat tempatan dengan lebih kerap.

"Kami berperanan sebagai pencadang projek berdasarkan kehendak tempatan yang dibawa ke Majlis Penasihat Pentadbiran dan Pembangunan SBPAC sebelum diusulkan kepada kerajaan. Antara projek itu ialah infrastruktur sekolah tadika serta sekolah agama," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Iklan

Berkenaan isu dan krisis keselamatan di wilayah tersebut, Khodari berkata, insiden terbabit tidak memberi kesan besar kepada penduduk yang tetap menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa.

Jelasnya, ini dibuktikan dengan kehadiran pelancong dari Malaysia khususnya.

Iklan

"Walaupun kedengaran insiden, orang Malaysia tetap masuk (selatan Thailand). Insiden berlaku tidak beri kesan kepada orang luar dan penduduk yang tetap jalankan kerja seperti biasa.

"Insiden hanya satu insiden. Kita sendiri juga lihat di mana-mana jumpa orang Malaysia.

"Diakui bahawa ekonomi di selatan Thailand mungkin berpunca dari kejadian yang berlaku dan apa yang jadi masalah masyarakat ialah 'survival' daripada segi modal (berniaga)," ujarnya.

Tambahnya, apabila berlaku krisis, orang luar tidak datang untuk melabur, namun dengan pelajaran serta pendidikan baik, perkara ini termasuklah ekonomi akan menjadi lebih baik.

Sementara itu, seorang peniaga wanita tempatan di Pattani, Rusila Zakaria, 25, berkata, dia mengharapkan agar keadaan kekacauan ini dapat ditangani dengan baik biar pun para peniaga sentiasa bangkit bagi menjana ekonomi.

"Kami semua berniaga seperti biasa. Kami sentiasa berasa selamat tanpa rasa fobia, kami tetap berjaga-jaga.

Rusila

"Ini kedai saya, jangan takut nak datang. Kami sentiasa terus bangkit untuk teruskan ekonomi kehidupan dan sara keluarga," kata wanita berasal dari Golok dan sudah menetap di Pattani sejak tiga tahun lepas.

Bagi Ismail Ahmad, 30, pula, kejadian seperti letupan bom terakhir berlaku kira-kira sebulan lepas.

Katanya, sekiranya berlaku sebarang ancaman keselamatan, pihak kerajaan akan memaklumkan kepada penduduk untuk berwaspada.

"Hari ini kami berniaga seperti biasa, tiada masalah," ujar.

Dalam pada itu, Sakiah Shahrin, 30, berkata, peniaga di sini bekerja seperti biasa, biar pun dirinya terkadang berdepan ketakutan.

Ismail Ahmad (kiri), Sakiah (kanan)

Namun, Sakiah menjelaskan bahawa situasi di sini terkawal dan berada dalam keadaan baik-baik sahaja.