Tiada cadangan guna model pembiayaan hibrid untuk LPT3 - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu. Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang menggunakan model pembiayaan hibrid bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sebaliknya memilih kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) yang menetapkan keseluruhan kos pembinaan ditanggung oleh pembida yang berjaya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan projek lebuh raya sepanjang 122 kilometer itu perlu dilihat dalam konteks keseluruhan pembangunan infrastruktur termasuk pelbagai projek yang telah diumumkan dan sedang dilaksanakan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tiada cadangan (pembiayaan) hibrid itu (dikemukakan)," katanya ketika pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang mahu mengetahui mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan kaedah pembiayaan seperti projek pelebaran trafik Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.

Iklan

Wan Hassan merujuk model pembiayaan hibrid di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang membabitkan 60 peratus pembiayaan kerajaan manakala baki 40 peratus dibiayai institusi seperti PLUS Malaysia Bhd.

Beliau juga mempersoalkan faktor atau kekangan yang menyebabkan kerajaan tidak menggunakan model sama bagi projek LPT3.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan antaranya membabitkan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bernilai RM2.3 bilion yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dan disasarkan siap pada akhir 2027.

Menurutnya, selain itu, projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) Kuala Krai-Simpang Pelangai bernilai RM7.7 bilion turut dibiayai kerajaan tanpa mengenakan tol, dengan jangkaan siap pada pertengahan 2028.

“Kemudian, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM52.43 bilion akan mula beroperasi pada 12 Disember depan. Sebanyak 12 hingga 16 kali sehari trip, ada ekspres dan ada henti-henti.

“Saya kira kerajaan akan melihat keseluruhan infrastruktur yang ada itu dalam membuat keputusan sama ada hibrid (atau sebaliknya),” ujarnya.

Ahmad berkata, kajian awal yang dijalankan antara 2020 hingga 2022 menganggarkan kos pembinaan LPT3 sebanyak RM9.8 bilion namun kos itu juga dijangka melebihi RM10 bilion berdasarkan keadaan semasa.

Katanya, kerajaan memutuskan supaya LPT3 dilaksanakan menerusi proses Permintaan Cadangan (RFP) secara kompetitif di bawah model PPP.

LPT3 yang dicadangkan tersebut akan menghubungkan Kampung Gemuruh di Terengganu dengan Tunjong di Kelantan, sekali gus melengkapkan rangkaian LPT1 dan LPT2.